suria

Helikopter tentera Indonesia terhempas, dua terbunuh, tiga parah

JAKARTA: Sebuah helikopter Tentera Nasional Indonesia-Angkatan Darat (TNIAD) jatuh terhempas, dipercayai dalam cuaca buruk, mengakibatkan dua orang mati dan tiga orang cedera parah ketika terbang di Cianjur, Jawa Barat petang Isnin. Helikopter jenis Bolkow BO105 itu yang sedang membantu latihan Komando pasukan Khusus (Kopassus), itu milik TNIAD dan sering digunakan dalam latihan menyelamat. Dua penumpang yang terbunuh ialah Komandan Pusat Pendidikan Kopassus Kol Ricky Samuel dan ketua operasi pusat itu Kapt Agung, demikian menurut agensi berita Antara dari Bandung.

Tiga orang yang cedera parah ialah ialah juruterbang Lt Hadi dan pembantu juruterbang Sasongko dan Lt Agus Santoso.

Pesawat itu dilaporkan berlepas pagi ini dari Lapangan Terbang Koppasus di Batujajar Bandung Barat untuk membantu latihan di kawasan Pagelaran Cianjur, Jawa Barat.

Ketua Penerangan Angkatan Darat Brig Jen Christian Zebua berkata ketika berada di kawasan pergunungan di Pagelaran, helikopter itu jatuh (tetapi tidak disebutkan waktunya).

"Belum diketahui secara pasti, mengapa helikopter itu jatuh. Kemungkinan akibat cuaca buruk, kerana cuaca di lokasi saat itu sedang hujan dan angin bertiup kencang," katanya.

Beliau berkata helikopter buatan tahun 1988 itu masih dalam keadaan baik dan layak terbang. BERNAMA

Artikel Lain