suria

Selesema babi: 81 dipercayai korban, dunia mula waspada

WASPADA... Pegawai kuarantin memantau peralatan termografik di pintu ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Narita, Tokyo, Jepun hari ini. - AP
WASPADA...  Pegawai kuarantin memantau peralatan termografik di pintu ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Narita, Tokyo, Jepun hari ini. - AP
WASPADA... Pegawai kuarantin memantau peralatan termografik di pintu ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Narita, Tokyo, Jepun hari ini. - AP

MEXICO CITY: Sebahagian besar negara mula mengambil langkah berjaga-jaga untuk menangani selesema babi yang setakat ini, dipercayai telah meragut 81 nyawa di Mexico dan menjangkiti lebih 10 orang di negara jiran Amerika Syarikat (AS).

Hari ini, rakyat Mexico mengambil tindakan waspada dengan hanya duduk di rumah.

Hospital-hospital di AS pula mula mengesan pesakit-pesakit yang mempunyai tanda-tanda dijangkiti selesema di pintu masuk lapangan terbang ketika Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran virus ini boleh berubah menjadi pandemik.

Menteri Kesihatan Mexico, Jose Angel Cordova berkata, selesema babi telah mengorbankan sekurang-kurangnya 20 orang dan kemungkinan meragut 81 nyawa di negara itu manakala lebih 1,300 orang sedang diuji kerana dipercayai sudah dijangkiti.

Kebanyakan mereka yang meninggal dunia berusia antara 25 dan 45 tahun.

SUASANA DI NEW ZEALAND

Di NEW ZEALAND, seramai 10 pelajar dari sekolah Auckland yang baru sahaja pulang dari Mexico dikuarantin bagi mengesan tanda-tanda selesema kerana pihak berkuasa percaya kemungkinan ada kes selesema babi walaupun tiada mereka yang serius.

Ketua Pengarah WHO, Dr. Margaret Chan menggesa tindakan waspada di seluruh dunia bagi mengelak merebaknya selesema.

Negara-negar Asia yang pernah berhadapan dengan virus maut H5N1 dan SARS beberapa tahun lalu telah memulakan langkah-langkah berjaga.

SUASANA DI MALAYSIA

Di MALAYSIA, Jabatan Imigresen sudah mengambil langkah berjaga-jaga berikutan wabak selesema babi di Mexico dan kini sedia bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan bagi mengawal penyakit itu daripada merebak ke Malaysia, kata Ketua Pengarahnya Datuk Mahmood Adam hari ini.

"Kami menunggu arahan Kementerian Kesihatan menjelang esok dan kami akan memberikan kerjasama penuh di semua pintu masuk," katanya kepada Bernama.

Jabatan itu mempunyai pengalaman sebelum ini dan telah memberikan perkhidmatan yang berkesan semasa penularan selesema burung Asia.

Menurut WHO, sesetengah kematian itu disahkan disebabkan oleh virus H1N1 yang tidak pernah dikesan sebelum ini yang menggabungkan genetik babi, burung dan manusia.

Laporan terbaru agensi berita asing menyebut bahawa selesema babi itu telah menular ke AS dan WHO bimbang ia mungkin merebak ke seluruh dunia.

Tanda-tanda selesema babit adalah menyamai dengan selesema biasa dengan demam, batuk, hidung berair dan lenguh anggota badan. Selesemasa terbaru itu dikatakan lebih mudarat berbanding sebelum ini kerana ia menggabungkan virus burung, manusia dan babi.

Para pakar berkata, setakat ini tidak terdapat vaksin bagi selesema terbaru itu.

Bagaimanapun, mereka menasihatkan bahawa langkah terbaik adalah memastikan tangan sentiasa dibersihkan bagi mengelak jangkitan.

Sementara itu, Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai dilaporkan menasihatkan rakyat Malaysia supaya tidak panik dengan berkata, kerajaan akan mengambil langkah perlu bagi menyekat penyakit itu daripada merebak di Malaysia.

Beliau berkata, kementerian akan memaklumkan orang ramai dari semasa ke semasa berhubung sebarang perkembangan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain