Sidang Kemuncak ASEAN tertangguh berlangsung Jun - Dunia | mStar

Sidang Kemuncak ASEAN tertangguh berlangsung Jun

BANGKOK: Sidang Kemuncak ASEAN + 6 yang ditangguhkan sebelum ini dijangka diadakan di Phuket Jun ini berikutan ramai pemimpin sibuk dengan jadual dalam negara masing-masing pada Mei dan Jun, kata Perdana Menteri Thai Abhisit Vejjajiva hari ini.

Katanya, pada masa ini Kementerian Luar sedang mendapatkan maklumbalas dengan 15 negara yang lain mengenai tarikh yang sesuai bagi mengadakan sidang kemuncak itu yang dibatalkan pada 11 April selepas ribuan penunjuk perasaan anti kerajaan menyerbu tempat sidang kemuncak itu yang diadakan di Pattaya dan memaksa ia dibatalkan.

Abhisit, yang mengisytiharkan perintah darurat di Bangkok dan lima wilayah berhampiran selepas insiden itu berkata India sedang sibuk membentuk kerajaan baru selepas pilihan raya umum manakala dua lagi negara dijadual mengumumkan belanjawan tahunan.

"Kementerian Luar sedang menghubungi negara-negara peserta dan Sekretariat ASEAN untuk menetapkan tarikh baru, besar kemungkinan ia akan diadakan pada Jun," katanya kepada wartawan selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Kabinet di sini.

Abhisit berkata Sidang Kemuncak 16 negara itu tidak boleh diadakan pada Julai memandangkan Mesyuarat Menteri-menteri Luar Asean dijadual berlangsung pada bulan itu sambil menambah persoalan bagi mengadakan majlis itu di negara lain tidak timbul pada masa ini walaupun keadaan politik di Thailand tidak menentu.

Sidang kemuncak antara 10 negara anggota ASEAN dengan China, Korea Selatan, Jepun, Australia, India dan New Zealand diganggu dengan masalah sejak awal kebanyakannya disebabkan krisis politik yang berpanjangan di Thailand.

Ia sepatutnya diadakan Disember tahun lepas tetapi dengan kejatuhan kerajaan Thai dan penutupan dua lapangan terbang utama oleh penunjuk perasaan memaksa ia diadakan pada akhir Februari.

Tetapi hanya Sidang Kemuncak ASEAN ke-14 diadakan di Hua Hin manakala sidang kemuncak dengan rakanrakan dialog ditangguhkan pada April berikutan pemimpin China sibuk dengan kongres tahunan parti.

Tetapi Sidang Kemuncak di Pattaya telah memalukan kerajaan Thai selepas penunjuk perasaan yang dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri Thaksin Shinawatra yang digulingkan, telah memaksa ia dibatalkan, walaupun para pemimpin luar sudah tiba di bandar pelancongan itu.

Abhisit berkata, adalah penting bagi mengadakan Sidang Kemuncak itu secepat mungkin memandangkan banyak agenda berkaitan dengan krisis ekonomi dan kewangan global.

China sepatutnya menadatangani perjanjian dagangan bebas dengan ASEAN pada Sidang Kemuncak itu dan mengumumkan dana kerjasama pelaburan sebanyak AS$10 bilion dan menawarkan AS$15 bilion dalam bentuk kredit kepada negaranegara anggota.

Thailand juga dijadual mengadakan Sidang Kemuncak ASEAN ke-15 pada Oktober. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Cuba mahu Obama tamatkan sekatan ekonomi

Artikel Berkaitan

Artikel Lain