suria

Pemakai purdah hadapi masalah kekurangan vitamin

MELBOURNE: Pelarian Afrika Utara dan rakyat Australia beragama Islam yang memakai purdah diberi ingatan bahawa mereka mungkin tidak mendapat Vitamin D yang mencukupi.

Daripada hampir 150 pendatang Afrika Utara yang mengambil bahagian dalam program pemeriksaan kesihatan, hanya dua yang mencapai tahap vitamin yang diperlukan untuk kesihatan, lapor Australian Associated Press.

Kajian itu dibuat di subbandar barat daya Sydney pada musim sejuk dan panas 2006, dan kajian susulan, selepas musim panas berikutnya, menunjukkan sedikit peningkatan dalam paras Vitamin D tetapi hampir 90 peratus daripada mereka yang menjalani ujian masih mengalami masalah kekurangan vitamin itu.

Dr. Craig Munns, dari Hospital Kanak-kanak Sydney, berkata mereka yang mempunyai kulit terlalu hitam memerlukan cahaya matahari tambahan untuk memperoleh jumlah Vitamin D yang diperlukan.

Bagi yang memakai purdah di luar rumah atas sebab agama, Dr. Munns berkata, mereka perlu memeriksa tahap Vitamin D setiap tahun dan menimbang mengambil vitamin tambahan setiap hari.

Dr. Munns berkata, ibu mengandung yang mengalami masalah kekurangan Vitamin D boleh menyebabkan anak dalam kandungannya mengalami masalah sama.

Mereka ini perlu memeriksa tahap Vitamin D pada tahap awal kehamilan manakala bayi yang menyusu badan perlu diberi Vitamin D tambahan sehingga berusia 12 bulan, katanya. BERNAMA

Artikel Lain