suria

Rakyat Malaysia boleh lawat Thailand, kata Duta Malaysia

BANGKOK: Rakyat Malaysia yang bercadang melawat Thailand kini boleh berbuat demikian selepas keadaan huru-hara yang dicetuskan oleh ratusan penunjuk perasaan anti kerajaan di kota Bangkok kembali pulih seperti biasa.

Duta Malaysia ke Thailand, Datuk Huzni Zai Yaacob hari ini berkata, ibu negara Thailand itu kembali tenang dan aman selepas penunjuk perasaan bersetuju menamatkan perhimpunan menentang kerajaan selama 19 hari itu.

"Saya bersiar di sekitar ibu negara hari ini dan situasi kembali kepada normal.

"Tetapi anggota tentera dan polis masih mengawal beberapa persimpangan jalan dan Rumah Kerajaan bagi memastikan keadaan teratur," katanya selepas menjelajah bandar raya itu yang bertukar wajah seperti sebuah zon perang.

Rakyat Malaysia merupakan sumber terbesar pelancongan bagi Thailand dengan lebih sejuta pelancong melawat negara itu setiap tahun.

Kelmarin, Kedutaan Malaysia di sini mengeluarkan amaran perjalanan kepada rakyat Malaysia apabila Perdana Menteri Abhisit Vejjajiva mengisytiharkan perintah darurat di Bangkok dan lima wilayah sekitarnya dalam usaha mengawal tunjuk perasaan yang semakin ganas.

Huzni berkata pihak berkuasa tempatan mengalihkan kenderaan yang dibakar oleh kumpulan penunjuk perasaan berbaju merah itu dan membersihkan jalan raya.

Dalam insiden rusuhan antara anggota tentera dan penunjuk perasaan di sini semalam, dua orang terbunuh dan 123 cedera.

Huzni berkata, kesemua rakyat Malaysia yang bekerja dan tinggal di ibu negara ini selamat dengan bilik gerakan 24 jam di kedutaan itu menerima purata 30 panggilan dari mereka yang ingin mengetahui perkembangan terbaru di situ.

"Kita akan terus memantau perkembangan di sini kerana perintah darurat belum ditarik balik," katanya.

Dalam pada itu, jurucakap kerajaan Panithan Wattanayakorn mengumumkan cuti tambahan selama dua hari pada Khamis dan Jumaat ini bagi membolehkan pihak berkuasa mengekalkan keamanan.

Penduduk Thailand menikmati cuti selama tiga hari sejak semalam bagi menyambut Songkran atau Tahun Baru Thailand.

Kementerian Luar Thailand dalam kenyataan berkata keadaan di negara itu kembali tenang dan pulih seperti biasa dan pelawat asing tidak menjadi sasaran dalam pertempuran di jalanan antara pihak berkuasa dengan pemprotes. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain