suria

PM Thailand mohon maaf kepada ASEAN dan rakan dialog

PATTAYA: Perdana Menteri Thailand, Abhisit Vejjajiva memohon maaf kepada pemimpin-pemimpin Asean dan juga lain-lain rakan dialog Asean yang tiba ke sini bagi menghadiri Sidang Kemuncak Asean ke-14 serta persidangan-persidangan yang berkaitan hari ini, selepas persidangan itu terpaksa dibatalkan ekoran timbulnya potensi ancaman terhadap keselamatan mereka dengan kemunculan penunjuk perasaan membanjiri kawasan sekitar persidangan.

"Saya sendiri memohon maaf kepada semua mereka, kecuali Australia. Semua mereka faham dengan keadaan ini," kata Abhisit yang kelihatan tenang tapi jelas keletihan, dan beliau kemudiannya berlalu tanpa menjawab sebarang soalan dari media.

Perdana Menteri Australia, Kevin Rudd tidak tiba ke sini hari ini untuk menyertai Sidang Kemuncak Asia Timur yang pada mulanya dijadualkan berlangsung Ahad ini.

Rakan dialog Asean termasuk China, Jepun, Korea Selatan, New Zealand, India dan Australia.

Abhisit turut mengisytiharkan darurat di Pattaya dan Chon Buri ditarik balik, tujuh jam selepas pengumuman dibuat.

Beliau berkata demikian semasa mengadakan lawatan mengejut ke Pusat Media Pattaya Exhibition and Convention Hall (Peach) di sini, yang beberapa jam sebelum ini dibanjiri oleh penunjuk perasaan anti kerajaan yang merempuh kawalan keselamatan.

Penunjuk perasaan "Berbaju Merah" yang dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri Thaksin Shinawatra, menuntut Abhisit meletak jawatan dan membatalkan sidang kemuncak itu merana mereka mendakwa pemilihan beliau dibuat sedara tidak sah.

Abhisit seterusnya berkata beliau menganggap mereka yang 'melaungkan kejayaan' ekoran pembatalan sidang kemuncak itu adalah sebagai musuh kepada Thailand.

"Sesiapa yang menganggap pembatalan sidang kemuncak ini sebagai satu kemenangan, adalah musuh kepada negara," kata beliau yang kemudiannya dibawa ke ke Lapangan Terbang Utapao untuk mengucapkan selamat jalan kepada tetamu-tetamu kenamaan. BERNAMA

Artikel Lain