suria

PM Thailand, 5 menteri selamat undi tidak percaya

BANGKOK: Perdana Menteri Thailand, Abhisit Vejjajiva dan lima menterinya berjaya melepasi cubaan pihak pembangkang mengemukakan undi tidak percaya terhadap kepimpinan mereka di Parlimen hari ini.

Usul itu dibentangkan oleh Parti Puea Thai, yang juga sekutu kepada bekas Perdana Menteri Thaksin Shinawatra.

Seperti dijangkakan, pemimpin Demokrat itu, berjaya mengatasi cubaan pembangkang itu dengan sokongan padu rakan sekutu pada undian yang disertai 446 ahli Parlimen.

Abhisit, 44, menerima sokongan dari 246 anggota dewan untuk menolak usul tersebut manakala 176 menyokong undi tidak percaya itu dan 24 berkecuali

Perdana Menteri yang baru memimpin kerajaan baru berusia tiga bulan itu menghadapi tujuh tuduhan kesalahan termasuk didakwa menagihkan sumbangan Bt263 juta (RM27 juta) dari TPI Polene Plc dan Bt29 juta (RM2.98 juta) dari Suruhanjaya Pilihan Raya.

Menteri Luar Kasit Piromya, penyokong kuat Perikatan Rakyat Bagi Demokrasi (PAD) yang menggulingkan tiga Perdana Menteri yang dilantik sebelum ini, turut melepasi usul itu dengan menerima 237 undi berbanding 184 undi menentangnya dan 25 berkecuali.

Kasit, yang didakwa ahli Parti Puea Thai sebagai pengganas kerana menyertai rampasan Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi oleh PAD pada November lepas, memberitahu pemberita bahawa beliau tidak akan melepaskan jawatan Kabinetnya.

Menteri Dalam Negeri Chaovarat Chanweerakul, Timbalan Menterinya Boonjong Wongtrairat dan Menteri Kewangan Korn Chatikavanij juga turut menang pengundian usul tidak percaya selepas masing-masing menerima 246 undi sokongan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

hwy

Artikel Lain