Dulu bapa ‘tebal muka’ minta sumbangan, kini anak jantung berlubang dah masuk sekolah menengah - Viral | mStar

Dulu bapa ‘tebal muka’ minta sumbangan, kini anak jantung berlubang dah masuk sekolah menengah

Mohd Zulfadzli berkongsi kegembiraan melihat anaknya yang menghidap jantung berlubang meningkat dewasa.

TERHARU melihat anak perempuannya yang menghidap jantung berlubang meningkat dewasa, seorang bapa berkongsi kegembiraannya di laman Twitter.

Anak perempuannya Safiah Mardhiah Mohd Zulfadzli, 13, yang menghidap jantung berlubang ketika berusia lima tahun pernah menjalani pembedahan open heart surgery dan memerlukan kos rawatan kira-kira RM25,000.

Keadaan itu membuatkan Mohd Zulfadzli Abdul Halim, 35, terpaksa 'tebal muka' untuk mendapatkan sumbangan orang ramai.

"Sebenarnya ia lebih kepada nilai sentimental apabila dapat melihat Safiah memakai seragam sekolah menengah buat kali pertama. Pembedahan Safiah satu titik penting dalam hidup saya kerana risiko open heart surgery melibatkan nyawa.

"Malah ramai pesakit yang saya temui di IJN bercerita tentang risiko jangkitan kuman selepas pembedahan, maksudnya sekali pun pembedahan berjaya, Safiah belum benar-benar selamat.

"Tweet itu muncul dari rasa kagum dan syukur bagaimana Safiah kini telah berganjak dewasa dan penanda satu dari cabaran hidupnya telah berjaya dilalui," ujarnya ketika dihubungi mStar Online.

Mohd Zulfadzli yang memuat naik bebenang di laman Twitter untuk menceritakan tentang perkembangan anak perempuannya melangkah ke tingkatan satu telah menerima lebih 13,000 ulang kicau (retweet) dan lebih 18,000 tanda suka (like).

Zulfadzli berkongsi detik Safiah menjalani pembedahan jantung pada 2011.

Menurut Mohd Zulfadzli, Safiah cepat letih dan pucat terutamanya di bahagian kuku namun kini kesihatan anak gadisnya itu semakin baik seperti kanak-kanak normal lain. 

"Penyakit Safiah dikesan ketika dia masih bayi. Ketika itu kami melakukan pemeriksaan bulanan di klinik kesihatan.

"Jururawat mengesyaki ada yang tak normal dalam bunyi degup jantung Safiah, mereka terus rujuk ke IJN dan di sana dia disahkan menghidap jantung berlubang.

"Selepas pembedahan, doktor menasihati agar dia dilayan seperti anak normal. Jadi saya biarkan dia dengan aktiviti lasak tetapi pantau jika ada sebarang tanda-tanda aneh. Alhamdulillah, setakat ini tiada," katanya.

Kisah Safiah yang menghidap penyakit jantung berlubang dan memerlukan kos rawatan yang tinggi pernah tular dan menjadi perhatian netizen selepas bapanya memuat naik status meminta bantuan dana bagi menanggung kos rawatan anaknya itu lapan tahun lalu.

Bercerita lanjut, Mohd Zulfadzli yang bertugas sebagai jurutera penyelenggaraan pesawat berkata kuasa viral benar-benar telah menyelamatkan nyawa sehingga anaknya mampu membesar seperti kanak-kanak lain.

"Saya sebenarnya malu untuk meminta kepada orang awam secara terbuka tetapi belanja pembedahan waktu itu memang tak cukup dan membimbangkan. Rakan-rakan saya, saudara Afif Bahardin dan saudara Najwan Halimi mendesak menyediakan maklumat untuk disebarkan, jadi saya terpaksa tebalkan muka dan akur.

"Saya tak sangka hasil derma orang ramai, saya berjaya mengumpul sehingga RM30,000.

"Media sosial ibarat pistol. Jika ia berada di tangan polis, maka keselamatan awam akan terjaga. Namun jika di tangan perompak, akan terjadi huru-hara. Terpulang kepada bagaimana kita menggunakannya," katanya.

Safiah bergambar kenangan bersama ibunya.

Tambah Mohd Zulfadzli, selepas berjaya mendapatkan dana pembedahan Safiah, dia kini terjun ke dunia kesukarelawanan untuk membantu orang yang kurang berkemampuan.

Mohd Zulfadzli kini sibuk menjalankan satu program bersama Persatuan STEAM Malaysia, sebuah badan bukan kerajaan bagi membantu kanak-kanak kurang berkemampuan mendapatkan akses pendidikan berkualiti melalui aplikasi secara percuma di telefon pintar.

"Alhamdulillah, kami telah menerima lima buah telefon terpakai dan masih menerima jika ada orang lain yang ingin menyumbang. Pada 2015, saya  dan rakan-rakan melalui NGO MySinarKasih, berjaya mengumpul lebih 100 sukarelawan dari media sosial untuk membantu proses pembersihan rumah-rumah mangsa banjir di Temerloh dan Kota Bharu.

"Pokoknya, crowdfunding bukan saja dapat mengumpul duit, malah ia juga boleh digunakan untuk mengumpul tenaga dan kepakaran.

"Saya dengan penuh rendah diri berterima kasih kepada isteri dan semua yang menderma dan mendoakan kejayaan pembedahan Safiah. Ramai yang menderma itu saya sendiri tak kenal namun ikhlas membantu. Hanya Tuhan saja mampu membalas jasa baik mereka ini," ujarnya.

jantung berlubang , Safiah , viral

Artikel Lain