suria

Gaya 4 selebriti tempatan ini cukup wow di NYFW! Neelofa berborak tentang hijab bersama Michael Kors

Empat selebriti ini bergaya sakan dalam persalinan pereka terkenal dunia.

MINGGU Fesyen New York (NYFW) baru saja berakhir namun acara selama enam hari itu sarat dengan pelbagai pertunjukan koleksi terbaharu daripada pereka fesyen terkenal dunia.

Beberapa artis terkenal tanah air seperti Scha Alyahya, Neelofa, Nur Fazura dan penyanyi yang berpangkalan di Amerika Syarikat, Yuna turut dilihat menghadiri beberapa pertunjukan fesyen di sana.

ARTIKEL BERKAITAN: Inspirasi durian Fiziwoo, kemunculan semula Hatta Dolmat dan Projek Jahat AirAsia di KLFW2019

Kelibat mereka turut menjadi tumpuan malah Neelofa sendiri berkesempatan bertemu beberapa pereka fesyen terkenal dunia seperti Tommy Hillfiger dan Michael Kors.

Menerusi pertemuan dengan Michael, Neelofa sempat membicarakan tentang fesyen secara global selain berbual mengenai modest fashion dan hijab.

Neelofa meluangkan masa selama 10 minit menemubual Michael Kors. 

Kata pengasas jenama Naelofar itu, sepanjang perbualan selama 10 minit itu Michael melahirkan rasa kagum terhadap fesyen modest selain wanita berhijab masih boleh bergaya dan memberi bayangan akan tampil dengan koleksi istimewa musim depan.

“Michael Kors beritahu saya, beliau mereka busana bukan untuk kelompok individu tertentu sahaja, ia meliputi kesemua tidak mengira perbezaan warna kulit, usia, ketinggian, saiz dan termasuk untuk mereka yang mahukan pakaian sopan.

“Michael turut menjelaskan, beliau banyak belajar daripada model berhijab bernama Ugbad yang diberi kepercayaan menjadi peragawati pembuka bagi pertunjukan fesyennya baru-baru ini. Menerusi Ugbad, Michael dapat mempelajari bahawa hijab datang dalam pelbagai saiz.

“Kata Michael, hijab boleh distailkan dalam bentuk turban dan boleh digayakan samada ke kiri, ke kanan atau ke belakang. Michael turut memberi sedikit bayangan sesuatu yang istimewa mungkin akan dilakukannya untuk koleksi musim depan. Semestinya saya tidak menyangkakan itu jawapan yang saya terima daripada beliau” kongsi Neelofa.

Neelofa bersama Tommy Hillfiger. 

Neelofa berada di New York bagi memenuhi jemputan New York Fashion Week SS20 sejak minggu lalu termasuk pertunjukan fesyen Long Champ, Tommy Hilfiger dan Tory Burch.

Manakala Nur Fazura turut berkongsi gambar bersama Anna Wintour yang juga Ketua Pengarang majalah fesyen terkenal dunia, Vogue.

Tidak ketinggalan Yuna yang mencuri perhatian apabila menghadiri beberapa pertunjukan fesyen seperti Alice & Olivia, Prabal Gurung, Jonathan Cohen, DKNY, Savage X Fenty By Rihanna dan Carolina Herrera.

Yuna tak main-main guys! Penyanyi lagu Forevermore itu tidak ubah seperti seorang model apabila menyarungkan beberapa busana pereka fesyen terkenal ketika menghadiri NYFW.

Yuna bersama Halima iaitu seorang model berhijab yang mencipta nama dalam bidang peragaan di Amerika. 

Berhijab bukan alasan untuk Yuna bergaya sakan dan berdiri sebaris dengan selebriti lain yang turut tidak ketinggalan melaram ke acara itu.

Tidak hairan Yuna sentiasa menjadi tumpuan lensa kamera ketika melalui karpet merah kerana gayanya yang chick namun masih mengekalkan modesty sebagai seorang wanita Muslim.

Mode minggu ini menyenaraikan beberapa look mereka sepanjang berada di sana.

1. Yuna

Baju pijama berwarna hitam yang digayakan Yuna bukan biasa-biasa tau. Ia rekaan Savage X Fenty By Rihanna.

Menariknya, walaupun ia 'baju tidur' namun Yuna bijak mengayakan pakaian itu dengan penambahan aksesori seperti tali pinggang, baju berwarna pink yang dipakai pada bahagian dalam serta turban yang match dengan pijama.

Bingkai shades berwarna hijau pucuk muda melengkapkan gayanya!

2. Neelofa

Gayalah apa pun, Neelofa tetap nampak menyerlah termasuk dalam sepersalinan dress rekaan Tory Burch.

Dress warna terang yang dipadankan dengan tudung berwarna jingga serta but tinggi menyerlahkan gayanya ketika menghadiri pertunjukan fesyen jenama itu.

Tas tangan dari koleksi jenama sama membuatkan look Neelofa bertambah 'mahal'.

3. Scha Alyahya

Seperti Neelofa, Scha Alyahya juga tidak ketinggalan bergaya sakan ketika muncul di pertunjukkan fesyen pereka Michael Kors.

Tampil dengan busana jenama sama, kecantikan Scha cukup menyerlah dengan padanan blaus dan jacket warna kelabu yang ringkas.

4. Nur Fazura

Gaun beropol dengan elemen flora daripada Coach cukup kena dengan Nur Fazura yang mempamerkan sisi feminin dan kelembutan aktres filem Dendam Pontianak itu.

Dengan solekan ringkas, dandanan rambut yang diikat, gayanya cukup sederhana namun kemunculannya pasti membuatkan sesiapa sahaja menoleh.

Artikel Lain