suria

Percaya atau tidak, bintang YouTube cilik ini peroleh pendapatan cecah RM88 juta!

Ryan Kaji mencipta nama sebagai bintang YouTube sejak usianya empat tahun.

RYAN Kaji mungkin baru berusia lapan tahun, namun kejayaannya menerusi saluran YouTube iaitu Ryan ToysReview memberi pulangan lumayan apabila memperoleh pendapatan AS$22 juta (RM88 juta) tahun lalu, demikian menurut Forbes.

Angka itu turut melonjakkan nama Ryan ke tangga pertama dalam senarai pendapatan paling tinggi di YouTube berbanding tempat kelapan tahun sebelumnya.

ARTIKEL BERKAITAN: ‘Pening’ fikir masalah alam sekitar, bekas pengurus hotel buka Kafe Sampah

Tugas anak kelahiran Texas, Amerika Syarikat ini mudah - hanya membuat review tentang permainan terbaharu di pasaran untuk 20 juta pengikutnya di YouTube.

Ryan bersama ibu bapanya.

Semuanya bermula pada 2015, apabila Ryan bertanya kepada ibu bapanya untuk membuka akaun YouTube kerana ingin bercerita mengenai permainan kegemarannya.

Permintaan Ryan yang ketika itu hanya berusia empat tahun membawa tuah kepadanya apabila video dia membuat review 100 permainan daripada siri 'Cars' mendapat tontonan sebanyak 935 juta.

Ryan juga sering berkongsi mengenai makanan ringan kegemarannya selain memaparkan kehidupan sehariannya bersama keluarga yang turut menarik minat penonton.

Ryan bersama koleksi permainan kegemarannya.

Nasib Ryan sekali lagi berubah apabila awal tahun ini, pasar raya gergasi di Amerika iaitu Wallmart menawarkan produk permainannya sendiri iaitu Ryan World.

Ia menjadi produk kedua menggunakan bintang YouTube itu selepas Pocket.Watch mengeluarkan barangan dibawah namanya pada 2017.

Sehingga kini saluran YouTube Ryan ToysReview mendapat tontonan lebih 26 bilion.

Ryan dilaporkan menerima royalti sebanyak AS$11 juta (RM44 juta) hasil daripada kolaborasi itu.

Ryan bersama bapanya ketika melawat Disneyland.

Rezeki melimpah ruah itu turut menjadikan Ryan dan keluarganya hidup senang lenang dan baru-baru ini ibu bapanya membeli sebuah kediaman agam yang turut mempunyai sebuah kolam renang lengkap dengan luncur air.

Kanak-kanak itu juga memiliki pelbagai koleksi permainan terbaharu kegemarannya termasuk kereta superhero Marvel dan DC.

Ryan adalah anak kepada pasangan Loann dan Shion Kaji dan dia turut mempunyai adik kembar, Emma dan Kate yang menetap di Los Angeles, California.

Di sebalik semua kemewahan itu, Ryan masih menjalani kehidupan normal dan menghadiri sekolah bersama rakan-rakannya yang lain. - BUSINESS INSIDER

Ryan Kaji, YouTube

Artikel Lain