suria

Kenali Putera Mahkota Dubai yang mendirikan rumah tangga serentak bersama dua adindanya

Sheikh Hamdan mendirikan rumah tangga pada pagi Rabu. - Instagram @faz3

PUTERA Mahkota Dubai, Sheikh Hamdan Mohammed dan dua adinda lelakinya menamatkan zaman bujang secara serentak pada pagi Rabu.

Perkahwinan tiga beradik itu disifatkan sebagai berita gembira bagi seluruh warga Emiriyah Arab Bersatu (UAE).  

Menurut Pejabat Media Dubai, tiga putera kepada Naib Presiden dan Pemerintah Dubai, Sheikh Mohammed Rashid itu melangsungkan perkahwinan dalam sebuah majlis tertutup di negara tersebut. 

Pada Khamis, pejabat media kerajaan negara itu mengesahkan bahawa putera mahkota berkenaan mengahwini Sheikha Sheikha Saeed Thani Al Maktoum.  

Sheikh Hamdan (kanan) dan dua lagi adindanya, Sheikh Ahmed Rashid (kiri) dan Sheikh Maktoum mendirikan perkahwinan dengan pasangan masing-masing pada Rabu. - Instagram Sheikha Latifa

Majlis perkahwinan ketiga-tiga putera itu dijangka diadakan tidak lama lagi. 

Setakat ini, masih belum jelas sama ada majlis tersebut akan diadakan secara terbuka atau tertutup. 

Sheikh Hamdan dilatih untuk menggalas peranan sebagai bakal pemerintah negara itu sejak awal lagi.  

Dilahirkan di istana dan merupakan salah seorang daripada 20 putera dan puteri Sheikh Mohammed Rashid, baginda bakal dilantik sebagai Raja UAE.  

Baginda hanya berusia 19 tahun ketika ditugaskan melindungi Dubai menerusi ketenteraan bersenjata.  

Sheikh Hamdan dilantik menjadi Putera Mahkota Dubai pada 2008. - Instagram @faz3

Putera Mahkota Dubai itu juga mengikuti jejak langkah ayahandanya untuk menjalani latihan di Akademi Tentera Diraja Sandhurst di United Kingdom pada 2001. Selepas Sandhurst, baginda meneruskan pengajian di London School of Economics. 

Empat tahun kemudian, Sheikh Hamdan dilantik untuk memegang jawatan rasminya yang pertama iaitu sebagai Pengerusi Majlis Eksekutif Dubai pada September 2006. 

Kira-kira dua tahun selepas itu, baginda dimahkotakan sebagai Putera Mahkota Dubai dan menggalas lebih banyak tanggungjawab diraja, selain memiliki kakitangan dan pejabat sendiri. 

Sheikh Hamdan juga merupakan seorang yang gemar melakukan aktiviti lasak seperti berlumba bot, terjunan udara, menyelam dasar laut dan menunggang kuda ketahanan (endurance). - N UAE

Artikel Lain