suria

Perhatian! Pesakit diabetes yang tak gemar makan ubat, amalan yoga sejam sehari mampu kawal kencing manis

Senaman yoga dianggap rawatan berkesan untuk mencegah dan menguruskan penyakit kencing manis.

AMALAN India kuno ini dikatakan rawatan yang sangat berkesan untuk mencegah dan menguruskan penyakit kencing manis.

Menurut Dr H. R. Nagendra yang merupakan perunding yoga kepada Perdana Menteri India, Narendra Modi mengakui yoga mampu menguruskan penyakit kencing manis.

Pakar yoga yang berusia 77 tahun itu berkata, orang dari negara seperti India, China dan Malaysia secara genetik cenderung menghidap diabetes melitus jenis dua.

ARTIKEL BERKAITAN: Jangan hanya tahu pasang tapi jarang selenggara, ketahui 5 sebab kenapa perlu kerap cuci penulen air

Justeru, menurut anak kelahiran Bengaluru, Karnataka, negeri di selatan India ini, adalah penting untuk mereka mengamalkan gaya hidup sihat.

Menurutnya, pakar terkemuka dari persatuan yoga utama di India telah mengkaji bagaimana yoga dapat mengawal gejala dan komplikasi berkaitan penyakit diabetes jenis dua.

"Kajian mereka mendapati latihan yoga selama satu jam sehari dapat mencetuskan dimensi baharu berbanding berjalan selama sejam kerana ia dapat mengawal penyakit diabetes dan mengurangkan pengambilan ubat," katanya.

Amalan yoga membolehkan pengamalnya mencapai kesihatan fizikal dan mental yang baik.

Terdapat pelbagai jenis yoga dan salah satu yang popular ialah hatna yoga, iaitu sistem latihan fizikal dan pernafasan serta meditasi yang membolehkan pengamalnya mencapai kesihatan fizikal dan mental yang baik.

Latihan yoga atau asanas (postur) direka untuk membuka banyak laluan tenaga halus di dalam badan - terutamanya tulang belakang yang merupakan saluran utama - supaya tenaga boleh mengalir dengan bebas.

Protokol senaman yoga biasa

Mengenai kelaziman diabetis jenis dua, Dr Nagendra yang juga canselor universiti yoga, Swami Vivekananda Yoga Anusandhana Samsthana di Bengaluru serta telah menjadi perunding Yoga Modi sejak tahun 1980-an berkata, pakar yoga telah memperkenalkan protokol yoga selama 60 minit bagi melawan penyakit itu.

Menurut guru yoga itu, manfaat protokol tersebut telah dikaji secara meluas di 60 daerah di India dan usaha penyelidikan tersebut telah diperakui oleh Persatuan Diabetes Amerika di San Francisco.

Biasanya, protokol yoga untuk diabetes jenis dua bermula dengan doa pembuka, diikuti dengan beberapa latihan pemanasan badan bagi menyediakan badan untuk gaya yoga yang lebih sukar.

Selepas sesi pemanasan, surya namaskaram (ucap selamat kepada matahari) merupakan kombinasi yoga dan pranayama (pernafasan terkawal) dilakukan.

"Sebanyak 12 langkah surya namaskaram membawa fleksibiliti umum badan sebagai persediaan untuk asanas yang seterusnya.

Ini biasanya dilakukan dengan menghadap matahari dan setiap langkah disertai dengan peraturan pernafasan.

"Ini (ucap selamat kepada matahari) biasanya dilakukan dengan menghadap matahari dan setiap langkah disertai dengan peraturan semasa bernafas," jelas Nagendra.

Bahagian seterusnya ialah dari protokol yoga melibatkan postur baring, meniarap dan duduk. Untuk posisi baring, pengamal akan terlentang, manakala postur meniarap, individu itu akan meniarap (atas perutnya) sebagai cara 'pemulihan' dan biasanya untuk berehat.

"Pada penghujung latihan posisi asana ini, pernafasan perut secara relax dalam keadaan terbaring harus dilakukan," katanya.

"Bahagian terakhir ialah senaman pernafasan dan meditasi, baik untuk pengurusan tekanan, kelonggaran mendalam dan menjaga minda "senyap", tambahnya.

Meditasi kitaran

Nagendra, seorang jurutera mekanikal sebelum menjadi pakar terapi yoga, menjadi begitu instrumental ketika memperkenalkan "meditasi kitaran", iaitu gabungan postur yoga dan meditasi yang berpandu.

Bahagian akhir adalah senaman pernafasan dan meditasi.

Beliau mendakwa dengan berlatih meditasi kitaran senamam yoga ini, seseorang dapat merungkai rahsia-rahsia yang tersimpan dalam Mandukya Upanishad, teks yang paling pendek dari buku Hindu purba yang dikenali sebagai Upanishads.

Menurut Nagendra, jika diamalkan dengan kerap meditasi kitaran berpotensi meringankan tekanan kerja dan merawat penyakit seperti asma dan kanser selain gangguan psikiatri.

"Rehat yang sebenar diperoleh melalui meditasi kitaran. Hasil kajian kami mendedahkan bahawa tidur selama enam jam sebenarnya kita hanya berehat sebanyak sembilan peratus, ia diukur dengan pengurangan kadar metabolisme.

"Tetapi, meditasi kitaran selama 30 minit dapat menyumbang kepada 32 peratus rehat," katanya sambil menambah bahawa perdana menteri India mengamalkan meditasi kitaran sebagai sebahagian rutin yoga hariannya.

Katanya, kesedaran orang ramai terhadap manfaat yoga semakin meningkat sejak 11 Disember 2014 apabila Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengisytiharkan Hari Yoga Antarabangsa disambut pada setiap 21 Jun. - Bernama

Yoga, Kencing manis, senaman, insulin

Artikel Lain