suria

5 jenis manusia suka memuji boleh lemparkan penyakit Ain, ketahui 20 tanda terkena musibah ini

Tekanan emosi seseorang itu boleh berpunca daripada terkena penyakit Ain.

SALAM semua pembaca mStar, semoga dirahmati Allah serta mendapat perlindungan dari wabak yang melanda dunia Covid-19 yang mana setakat artikel ini ditulis hampir 2,000 orang telah maut. Nauzibillah!

Saya nak kongsikan doa-doa yang patut kita amalkan dan jangan kita tinggalkan doa ini tambahan lagi dalam keadaan sekarang yang amat kritikal:

1. بِسْمِ اللَّهِ الَّذِي لَا يَضُرُّ مَعَ اسْمِهِ شَيْءٌ، فِي الْأَرْضِ، وَلَا فِي السَّمَاءِ، وَهُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ،

“Dengan nama Allah yang dengan nama-Nya, tidak ada satu pun yang dapat memberi kemudaratan di bumi mahupun di langit, Dialah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”

Dalam hadis menyebut “…dibaca sebanyak tiga kali, maka dia tidak akan ditimpa bala yang datang secara tiba-tiba sehingga Subuh. Dan barang siapa yang membacanya ketika Subuh sebanyak tiga kali, maka dia tidak akan ditimpa bala yang datang secara tiba-tiba sehingga petang (malam).”

2. أَعُوذُ بِكَلِمَاتِ اللهِ التَّامَّاتِ مِنْ شَرِّ مَا خَلَقَ

(Aku berlindung dengan kalimah Allah yang sempurna daripada segala keburukan yang Allah SWT cipta)” nescaya tidak akan berlaku perkara yang memudaratkan kamu.” [Riwayat Muslim (2709)].

Pada kesempatan kali ni saya nak kongsikan beberapa kisah satu penyakit yang boleh membawa kecacatan kekal sehingga dan jika diizinkan Allah ia boleh membawa maut!

Teliti kisah dari hadis nabi SAW seperti di bawah:

Kisah pertama: Abu Sahal bin Hunaif mandi di sungai, lalu ia melepaskan jubah yang dikenakannya, sementara 'Amir bin Rabi'ah melihatnya. "As'ad bin Sahal berkata; "Sahal adalah seorang pemuda yang putih dan bagus kulitnya. Amir bin Rabi'ah berkata kepadanya; "Aku tidak pernah melihat kulit yang sebagus ini, bahkan kulit seorang gadis sekalipun.

Kanak-kanak mudah terkena penyakit Ain akibat pujian manusia tanpa mendoakannya. Gambar hiasan.

"Kemudian Sahal diserang demam, dan penyakit tersebut bertambah parah. Rasulullah SAW kemudian didatangi dan dikhabarkan kepada beliau 'Sesungguhnya Sahal sakit, ia tidak dapat datang bersama kamu, Wahai Rasulullah!

Rasulullah SAW lalu menemuinya, kemudian Sahl mengabarkan tentang apa yang telah dilakukan Amir terhadapnya. Rasulullah SAW bertanya: 'Kenapa salah seorang dari kalian hendak membunuh saudaranya? Tidakkah (sebaiknya) engkau mendoakan agar diberkati.

Sesungguhnya penyakit Ain itu benar adanya. Berwuduklah kamu untuknya! 'Amir lantas berwuduk untuk Sahal. Setelah itu Sahal dan Rasulullah SAW berangkat dengan keadaan sihat.”

Apa yang dilakukan oleh Amir hanyalah kagum dan memuji Sahal bukan ada apa-apa perbuatan nak membunuh Sahal, tetapi kenapa nabi SAW cakap sehingga 'Kenapa salah seorang dari kalian hendak membunuh saudaranya? Apakah salah Amir? Jawabnya adalah bila Amir mengagumi dan memuji Sahal tanpa mendoakan keberkatan Amir seperti Tabaarakallah atau MasyaaAllah Laa quyyata illa billah.

Kisah kedua: Dari pengalaman saya merawat ramai bayi yang selalu menangis dan sering ditimpa sakit-sakit disebabkan oleh pujian orang yang melihat dengan kagum dan melemparkan pujian terhadapnya. Kenapa? Kerana tiada disusuli dengan mendoakan keberkatan bayi tersebut.

Apakah nama penyakit ini? Itulah namanya penyakit Ain.

Nabi SAW bersabda dalam beberapa hadis; “Ain itu nyata dan benar adanya”- [Muttafaqun alaih] dan “Kebanyakkan dari umatku yang akan mati setelah takdir Allah adalah disebabkan oleh Ain” - [HR Bukhari].

Bagaimana kita nak kenal seseorang yang boleh melemparkan penyakit Ain?

Ciri-ciri seseorang yang boleh melemparkan penyakit Ain, adalah seperti berikut:

1. Seseorang yang jarang mendoakan keberkatan orang lain apabila dia melihat sesuatu yang mengkagumkan dia.

2. Seseorang yang banyak mengeluh dan tidak menerima qada qadar Allah.

3. Seseorang yang amat sedikit berzikir kepada Allah dan banyak membicarakan hal keduniaan sahaja.

4. Seseorang yang sangat takjub dan kagum dengan harta milik seseorang dan dia banyak membicarakan harta dan pemilik harta tersebut.

5. Anda menemui seseorang yang mukanya selalu berkerut dahi, bermuka masam, murung, pucat atau gelap pekat. Selalu sedih, sering curiga dan suka mencampuri urusan orang lain.

Apakah tanda-tanda atau ciri-ciri seseorang ditimpa penyakit Ain?

Ada banyak tetapi di antaranya adalah seperti berikut:

1. Sedih dan dada terasa sesak

2. Emosional dan ketakutan

3. Sering mimpi yang menakutkan

4. Tiba-tiba tidak mahu bergaul dengan orang lain

5. Sukar untuk fokus terhadap sesuatu

Sering bermimpi perkara-perkara pelik mungkin penyebab penyakit Ain. Gambar hiasan.

6. Suka menyendiri

7. Merasa benci untuk keluar rumah

8. Susah tidur waktu malam

9. Tubuh jadi kurus kerana tiada selera nak makan

10. Tiba-tiba jadi bodoh walaupun sebelumnya pintar

11. Terlalu sensitif

12. Terasa ingin mati dan putus asa

13. Dada terasa sesak sehingga ingin menangis

14. Mimpi kubur, jenazah atau masuk ke dalam kubur

15. Pengsan mendadak

16. Detik jantung kencang hingga takut mati

17. Bermurung atau lebih suka diam walaupun sebelumnya ramah dan memandang negatif kehidupan hingga berharap mati

18. Rasa takut terhadap tempat atau orang tertentu seperti pejabat atau sekolah atau rumah yang mana sebelumnya dia sangat suka dengan tempat tersebut

19. Selalu mengantuk  dan malas nak melakukan sebarang aktiviti

20. Sering menguap ketika beribadah atau ketika diruqyah.

Ciri-ciri Ain pada anak-anak sekolah pula adalah seperti berikut:

1. Suhu badan panas yang tinggi

2. Mulanya rajin tiba-tiba jadi malas

3. Mulanya murid yang pintar tapi tiba-tiba malas

4. Tidak boleh fokus

5. Denyut jantung yang tak teratur dan terkadang sangat kencang

6. Degil dan tidak suka ikut cakap ibu bapa

Ciri-ciri Ain pada bayi adalah seperti berikut: 

1. Badan panas bukan kerana sakit medik

2. Selalu menangis dan tidak mahu menyusu dengan ibunya

3. Kurus kering seperti kurang makan tetapi selalu makan

4. Kejang-kejang tanpa sebab yang jelas

5. Denyut jantung yang tak teratur dan terkadang sangat kencang

Bagaimana nak mengelak daripada terkena penyakit Ain? Ada tak doa-doa pendinding atau amalan-amalan yang boleh melindungi kita dari terkena panahan Ain ni? Atau kalau dah terkena penyakit Ain ni bagaimana cara nak merawatnya?

InsyaAllah saya akan kongsikan dalam artikel bahagian kedua selepas ini.

Sebarang pertanyaan boleh whatsapp Ustaz Shams di 011 1144 8987 untuk memohon kesembuhan dari Allah terhadap penyakit Ain.

Dengan izin Allah, insyaAllah, Allah akan berikan kesembuhan. Kita hendaklah yakin bahawa Allah berfirman: “Dan kami turunkan al-Quran sebagai ubat kesembuhan dan rahmat bagi orang-orang yang beriman” - [al-Isra’:82].

Silakan kongsi sebanyak mungkin semoga menjadi sebahagian amalan soleh kita. Wallahua’lam.

***Ustaz Shams ialah pensyarah di sebuah universiti.

Ain, penyakit, pujian

Artikel Lain