Galeri Video Berita Semasa, Hiburan dan Sukan | mStar

Reaksi Tun M, Azmin dan Muhyiddin, Anwar kembali beraksi di Parlimen

Diterbitkan: Isnin, 15 Oktober 2018 5:43 PM

KUALA LUMPUR: Kehadiran Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Parlimen disambut baik Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menurut Dr Mahathir, beliau sudah menjangka kemenangan Anwar dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson yang berlangsung pada Sabtu.

"Kami sudah menjangkakan Anwar akan kembali.

"Kami tahu beliau akan menang dan dia menang besar," katanya.

Selain itu, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali turut menyatakan harapannya bagi melihat Ahli Parlimen Port Dickson itu melakukan reformasi dalam pemerintahan seperti yang diperjuangkan selama ini.

"Walaupun Pakatan Harapan telah menang dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, termasuk di Port Dickson namun kita perlukan dukungan yang lebih kuat daripada pimpinan yang berpengalaman dengan rekod kerja yang baik.

"Saya percaya regu dan gandingan Tun Dr Mahathir dan Anwar akan dapat mengembalikan Malaysia sebagai sebuah negara yang berwibawa, gagah dan dapat membawa kesaksamaan kepada rakyat," ujarnya.

Selain Dr Mahathir dan Datuk Seri Azmin Ali, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut memberikan reaksi positif.

"Ia merupakan satu detik bersejarah dalam politik dan Parlimen negara.

"Saya mengharapkan beliau dapat memainkan peranan sebagaimana beliau telah janjikan iaitu untuk mengetuai gerakan reformasi Parlimen", katanya.

Datuk Seri Anwar Ibrahim menang besar dalam PRK Port Dickson dengan majoriti 23,560 undi, Sabtu lalu.

Anwar hadir mengenakan baju Melayu berwarna hitam mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen Port Dickson di hadapan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof, Isnin.

Ia sekali gus memberi laluan kepadanya untuk dipilih sebagai perdana menteri kelapan bagi menggantikan Dr Mahathir.

Tags / Kata Kunci: Anwar , Tun M , Muhyiddin

iklan