suria

Safawi tak puas hati, akui banyak buat silap

"SEJUJURNYA saya tidak puas hati dengan prestasi semalam," ujar penyerang muda negara, Safawi Rasid selepas Malaysia terikat 2-2 dalam aksi final pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil menentang Vietnam pada Selasa malam.

Pemain Paling Bernilai (MVP) 2018 itu berkata, skuadnya banyak melakukan kesalahan kecil sehingga memberi kelebihan untuk pasukan lawan mendapatkan gol lebih awal.

"Saya gembira sebab Malaysia dapat buat come back selepas ketinggalan 2-0. Namun pihak lawan berjaya mendapatkan gol lebih awal kerana kami hilang fokus.

"Perlawanan semalam memang sengit, mereka pantas. Kami pula banyak buat kesalahan kecil," katanya ketika dihubungi mStar Online, Rabu.

Pada aksi di gelanggang sendiri, Vietnam memperoleh dua gol dalam masa singkat menerusi Nguyen Huy Hung pada minit ke-22 dan Pham Duc Huy pada minit ke-25.

Skuad Cheng Hoe bagaimanapun tidak berputus asa apabila berjaya merapatkan jurang menerusi Shahrul Saad berjaya menanduk masuk bola ke dalam gawang pada minit ke-36 berpunca daripada sepakan Syamer Kutty Abba.
Safawi Rasid menggembirakan 85,000 penyokong yang hadir apabila berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-61 menerusi rembatan dari luar kotak penalti yang berjaya menewaskan penjaga gawang, Dang Van Lam.

Tambah Safawi lagi, pasukan negara perlu memperbaiki kelemahan dan mencari peluang untuk menjaringkan gol lebih awal dalam final kedua di Hanoi Sabtu ini.

"Saya harapkan pasukan dapat terus fokus. Perlawanan di Hanoi mungkin lebih sengit dengan penyokong mereka yang ramai... tekanan lebih tinggi.

"Paling penting dekat sana kita tak boleh ulangi kesalahan-kesalahan kecil," tegasnya.

Selain itu Safawi berkata, dia berharap pasukan negara tidak pulang sebagai naib juara sebaliknya membawa pulang Piala AFF Suzuki pulang ke tanah air.

"Tak mustahil di Hanoi nanti kita cuba buat sesuatu yang boleh memerangkap mereka.

"Yang pasti kami tidak mahu pulang sebagai naib juara, kalau boleh nak bawa piala itu pulang ke Malaysia," katanya.

Skuad Harimau Malaya bakal berdepan dengan Naga Emas di Hanoi Sabtu ini bagi penentuan juara Piala AFF Suzuki 2018.

Kali terakhir Malaysia menjuarai kejohanan dwi tahunan ini pada tahun 2010.



Video Selebihnya

Semua
Hiburan
Berita
Variasi