suria

Mana nak lari? PTPTN guna majikan kejar peminjam mulai tahun depan

KUALA LUMPUR: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN)  bekerjasama dengan enam agensi bagi mendapatkan maklumat pendapatan dan butiran majikan peminjam  untuk melaksanakan Potongan Gaji Berjadual (PGB) bermula Januari depan.

Pengerusinya Wan Saiful Wan Jan berkata agensi terbabit ialah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Lembaga Hasil Dalam Negeri, Kumpulan Wang Persaraan, Jabatan Akauntan Negara, Urusan Gaji Angkatan Tentera dan Jabatan Perkhidmatan Awam.

PGB ini adalah untuk peminjam yang gajinya mencecah RM2,000 sebulan dan berdasarkan maklumat yang diperoleh, PTPTN akan mengeluarkan arahan potongan gaji mengikut peratusan tertentu kepada majikan dan majikan bertanggungjawab membuat potongan itu, katanya kepada pemberita, di sini pada Rabu.

Wan Saiful berkata PGB lebih adil kerana dapat memastikan mereka yang kurang berada tidak terbeban sementara yang kaya pula tidak boleh mengambil kesempatan.

Katanya bagi peminjam berpendapatan RM2,000-RM2,499.99, dia perlu membayar dua peratus iaitu RM40 hingga RM49.99 dan bagi yang berpendapatan RM2,500-RM2,999.99 sebanyak tiga peratus (RM75-RM89.99).

Peminjam berpendapatan RM3,000-RM3,999.99 pula dikenakan lima peratus (RM150-RM199.99); RM4,000-RM5,999.99 (lapan peratus iaitu RM320-RM479.99); RM6,000-RM7,999.99 (10 peratus iaitu RM600-RM7999.99) dan bagi yang berpendapatan RM8,000 ke atas perlu membayar 15 peratus iaitu RM1,200 dan ke atas.

Pada pembentangan Belanjawan 2019, Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengumumkan pelaksanaan PGB antara 2.0 hingga 15 peratus daripada pendapatan bulanan peminjam yang menerima lebih RM1,000 sebulan selain pengecualian bayaran bagi golongan B40 sekiranya graduan memperoleh ijazah sarjana muda kelas pertama.

Bagaimanapun minggu lepas, Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik dilaporkan berkata pemotongan gaji bagi peminjam berpendapatan melebihi RM2,000 sebulan akan dilaksanakan bermula Januari ini.

Bagi menggalakkan majikan yang membantu membayar PTPTN untuk pekerja sepenuh masa, majikan layak menikmati potongan cukai ke atas jumlah bayaran balik, baik yang dibayar secara ansuran mahupun sekali gus.

“Syaratnya ialah majikan tidak boleh mengenakan apa-apa syarat atau tuntutan kepada pekerja setelah bayaran dibuat,” katanya.

Katanya majikan boleh menjadikan penyelesaian hutang PTPTN sebagai insentif kepada pekerja cemerlang atau insentif merekrut pekerja baharu. - Bernama

PTPTN, Wan Saiful Wan Jan


Video Selebihnya

Semua
Hiburan
Berita
Variasi