Akhirnya terbongkar... selipar punca lelaki pukul warga emas di plaza tol - Video | mStar

Akhirnya terbongkar... selipar punca lelaki pukul warga emas di plaza tol

Diterbitkan: Selasa, 30 Oktober 2018 1:31 PM

INSIDEN pergaduhan melibatkan seorang lelaki memukul seorang penunggang motosikal warga emas di sebuah plaza tol Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH) menerima pelbagai reaksi netizen di media sosial.

Rata-rata mereka menyifatkan tindakan lelaki berkenaan sebagai sesuatu yang keterlaluan.

Penyebaran video berkenaan bagaimanapun mendapat perhatian salah seorang daripada mangsa yang terlibat dalam kemalangan terbabit yang tampil menjelaskan perkara sebenar.

Menurut Irweyanto Suet, 32, pergaduhan tercetus gara-gara berang dengan tindakan penunggang motosikal warga emas yang memberhentikan kenderaanya di lorong plaza tol berkenaan sehingga menyebabkan seorang lelaki bersama isteri dan dua anak mereka yang masih kecil berada dalam keadaan bahaya.

"Waktu itu hujan... pakcik itu berhenti sebanyak dua kali sebelum kemalangan itu terjadi.

"Punca dia memberhentikan motosikal dia disebabkan seliparnya tercabut.

"Tindakannya itu menyebabkan ramai penunggang motosikal lain tidak sempat memperlahankan kenderaan dan berada dalam keadaan bahaya", katanya ketika dihubungi mStar Online.

Menurut Irweyanto, rakaman video yang dimuatnaik ke media sosial itu separuh daripada kejadian sebenar menyebabkan ramai netizen tidak faham situasi sebenar.

"Apa yang diviralkan di media sosial itu hanya separuh daripada rakaman itu.

"Saya pun tidak mahu memanjangkan isu berkenaan kerana segala-galanya sudah selesai. Kami menyelesaikan masalah itu secara baik. Tiada sebarang laporan polis dibuat, ujarnya.

Tags / Kata Kunci: plaza tol , pergaduhan

iklan