Ini cerita sebenar kejadian sumbat anak dalam mesin dobi layan diri - Video | mStar

Ini cerita sebenar kejadian sumbat anak dalam mesin dobi layan diri

Diterbitkan: Selasa, 2 Oktober 2018 4:10 PM

PETALING JAYA: Insiden seorang kanak-kanak berusia tiga tahun terperangkap di dalam mesin basuh sebuah kedai dobi layan diri di Taman bukit Sentosa, Rawang menjadi perhatian ramai.

Pelbagai andaian timbul sehingga ada yang menyangka perbuatan tidak bertanggungjawab itu dilakukan ibu bapa kanak-kanak berkenaan.

Bagaimanapun menurut pengusaha dobi, Mohamad Nazir Abd Razak, kejadian yang berlaku kira-kira pukul 12 tengah malam Isnin di premisnya itu diketahui selepas dimaklumkan bapa mangsa.

"Bapa mangsa menghubungi dan memaklumkan mengenai kejadian sebenar. Sudah pasti saya terkejut bagaimana anak dia boleh masuk dalam mesin basuh.

"Saya dimaklumkan perbuatan itu dilakukan bapa saudara mangsa dengan tujuan untuk bergurau. Saya sangka gurauan itu dilakukan kanak-kanak yang tak boleh nak berfikir, tapi lebih mengejutkan apabila diberitahu bapa saudaranya itu berusia lingkuan 20-an," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Selasa.

Dalam pada itu, Mohamad Nazir turut menasihatkan pengguna perkhidmatan dobi layan diri agar mengutamakan keselamatan dan tidak panik jika berhadapan situasi sama.

"Tahap keselamatan perlu diambil kira ketika menggunakan mesin dobi layan diri agar kejadian sama tidak berulang.

"Setiap mesin di kedai dobi selamat digunakan dan ia tidak akan berfungsi dengan sendiri. Paling penting, sentiasa baca arahan pada mesin berkenaan.

"Jika panik, hanya tekan butang 'reset' atau matikan suis dan pintu washer akan terbuka dalam masa beberapa saat, ujarnya".

Jumlah kerugian masih belum dikenal pasti.

Sebelum ini heboh mengenai perbuatan kejam dua individu yang tergamak memasukkan seekor ibu kucing yang sedang bunting ke dalam mesin pengering di kedai dobi layan diri lalu menghidupkan peralatan berkenaan.

Kucing tersebut mati dengan kesan darah dalam mesin itu yang mempunyai tiga tahap suhu iaitu panas, sederhana panas atau biasa.

Tags / Kata Kunci: dobi , sumbat , budak

iklan