Pelancaran #APO2016 Meriah

Diterbitkan: Khamis, 3 Mac 2016 7:58 PM

PETALING JAYA: Anugerah Pilihan Online 2016 (APO 2016) yang mengiktiraf personaliti tanah air merangkumi bidang hiburan, sukan, fesyen dan perniagaan dilancar secara rasmi pada Khamis.

Bertempat di Zebra Square, Kuala Lumpur, pelancaran APO 2016 yang bertemakan Glam Digital dimeriahkan dengan kehadiran selebriti tempatan seperti Sona One, Indah Ruhaila, Dafi, Bunkface, Caliph Buskers, Awi Rafael, Aliff Aziz, Forteen serta I Am Neeta.

Turut hadir memeriahkan pelancaran APO 2016 ialah jaguh bina badan negara, Sazali Samad; chef selebriti, Zamzani Abdul Wahab atau Chef Zam, ikon fesyen seperti Wak Doyok dan Muhammad Rizki Zaidani atau Ikie Coki.

Usahawan muda yang turut tersenarai dalam pencalonan awal APO 2016 seperti Januar Haikal dari Furby and Sugar dan pengasas Viperbekam, Sharkradzuan turut memeriahkan majlis.

Berbeza dengan pelbagai anugerah sedia ada, APO 2016 anjuran bersama Kumpulan Media Star melibatkan mStar Online dan SuriaFM memberi peluang kepada orang ramai yang aktif menggunakan media sosial untuk mencalon dan mengundi dalam 18 kategori yang dipertandingkan.

Pencalonan dan pengudian secara dalam talian boleh dibuat dengan melayari laman web khas iaitu http://apo.mstar.com.my.

Sebarang perkembangan terkini mengenai APO2016 juga boleh diikuti di laman Facebook https://www.facebook.com/AnugerahPilihanOnline.

Anugerah yang julung kali diadakan ini bersiaran secara langsung di TV2 pada 30 April depan.


Tags / Kata Kunci: #APO2016 , mStar Online , SuriaFM

iklan