|
|
SUARA ALTERNATIF
Sabtu November 14, 2009
LUAR PAGAR... Oleh PYANHABIB
Soljah bersama pengarah-pengarah filem dari Indonesia.
SEBUAH EKSPERIMEN BERJIWA BESAR...KISAH PERJUANGAN SINDIKET SOLJAH! TANPA mempedulikan kemilau lampu neon Kuala Lumpur, dalam diam segerombolan `lelaki urban’ yang memperkenalkan diri mereka sebagai Sindiket Soljah, saban bulan beraktiviti di Rumah Pena. Sindiket Soljah asalnya digerakkan oleh budak-budak pereka grafik Dewan Bahasa & Pustaka. (Soljah tu adalah sebutan loghat pasar kepada soldier sebab pengasasnya adalah anak-anak bekas polis dan askar). Sejak 2007, mereka mendapat `kasih sayang’ Persatuan Penulis Nasional (Pena) yang sudi menyediakan mereka lantai, tiang, bumbung dan dinding percuma selain halaman rumah yang sedia ada, dengan syarat selesai acara, apa sahaja yang bernama sampah hendaklah dikutip. Sebolehnya, setengah inci puntung rokok pun, terutama yang berbau cengkih, dipupuslupuskan! Siapa makhluk Sindiket Soljah? Sindiket Soljah adalah kelompok lelaki kreatif lurus bendul, yang dengan sombong mendakwa mereka `lelaki urban’. Jika ada kalangan penulis atau aktivis sastera Kuala Lumpur tidak tahu akan kewujudan kelompok ini atau apa berhalanya `lelaki urban’, yang saban bulan mengambang menghidupkan aktiviti malam Sabtu di Rumah Pena, mereka tidak cool! Dengan diterangi cahaya dari lampu minyak tanah dan sedikit lampu sorot di ruang pentas, dengan santainya mereka menghidupkan acara, mereka menjemput kawan-kawan yang mereka suka membacakan karya berupa fragmen novel atau cerpen atau puisi dengan pelbagai rencah dan bau sama ada erotik, politik mahupun plastik. Mereka namakan acara mereka Maskara, akronim dari Malam Baca Naskhah Bersama Kawan-kawan Yang Kita Suka. Maskara, sedap juga. Penyertaan Maskara datang dari pelbagai mazhab dan latar belakang. Mereka bebas menyanyi, berteater mini, berpuisi atau berjenaka malah penyertaan dialu-alukan walaupun hanya untuk bersilap mata makan api! Untuk makluman, sejak idea `menyuntik pop ke dalam sastera’ dicetuskan pada tahun 2007, gerombolan lelaki urban ini secara terang-terang berjaya menarik, menghimpun ribuan penonton dari kalangan anak muda profesional dan anak muda yang berkuliah. Anak muda profesional dan yang berkuliah inilah yang memenuhi (ada ketikanya melimpah ke luar rumah) segenap lantai, celah pintu dan sudut dinding rumah Persatuan Penulis Nasional yang berjiran dengan Dewan Bahasa dan Pustaka itu. Mereka ini khalayak profesional yang hadir dengan kepala yang lebih `bersekolah’ dan bukan yang diangkut rombongan bas sekolah. Baru-baru ini dalam acara Maskara Shorties, iaitu acara tayangan filem pendek, ratusan penonton membanjiri halaman Rumah Pena untuk menonton lebih 20 buah filem pendek karya anak-anak muda yang ditayang gaya wayang pacak. Paling diingat apabila ratusan penonton ini tidak berganjak meskipun mereka dibasahkuyupkan dek hujan yang sekejap melebat sekejap bergerimis. Anak muda sememangnya kreatif. Otak mereka tidak duduk diam. Ada kalangan mereka menjual buku-buku yang menghimpunkan karya sendiri yang diterbit dengan modal sendiri atau diterbitkan orang lain. Segalanya berlangsung santai di Rumah Pena dan suasana inilah yang menghidupkan malam Sabtu cuti hujung minggu anak-anak muda ini. Aktiviti Sindiket Soljah adalah aktiviti seni dan sastera alternatif. Ia digerakkan oleh kelompok lelaki urban kreatif yang lurus bendul yang sejak bertahun-tahun beraktiviti dengan wang saku sendiri.Kerana mereka bukan kroni dan tidak ada pengaruh maka mereka akur dengan jawapan memanjang: `tidak ada duit’ daripada pihak yang sepatutnya membantu hulurkan sedikit Ringgit Malaysia kepada mereka. Hajat mereka buat biaya mihun goreng atau kopi o atau air mineral penonton, itu sahaja. Mereka tidak beraktiviti merempit atau berdangdut. Mereka beraktiviti dengan seni dalam bentuk yang lebih kreatif, yang indie dan underground. Aktiviti yang merangkumi zaman sebelum itu (baca sajak dengan tiga-empat mikrofon atau bersilat berkeris depan mikrofon, misalnya) wajar dilihat sudah purbakala. Melihat kepada sambutan terhadap aktiviti Sindiket Soljah, seharusnya mereka mendapat biaya daripada Kementerian Kebudayaan atau Kementerian Belia, misalnya. Aktiviti anak-anak muda yang kreatif ini lebih bermakna daripada menaja mat rempit mengarak bendera. Dewan Bahasa dan Pustaka sepatutnya juga rajin menjengok meninjau aktiviti mereka ini. Mamak adalah sasaran mereka menyusun aktiviti sambil menduble roti canai atau menggelasbesarkan teh tarik, dan mereka berterus terang menyatakan: `Kami lelaki urban yang gemar bersembang di kedai kopi sambil berkomplot menyuntik 'pop' ke dalam seni. Kami tidak hisap ganja, minum arak dan amalkan seks sejenis. Tapi kami memang suka pada benda-benda cantik.’Ya, lelaki urban ini suka benda-benda cantik, tapak Sulaiman dan puding susu... PYANHABIB pernah berkhidmat sebagai wartawan dan penulis di Unit Sastera, Utusan Malaysia. Beliau kini pencen makan gaji sepenuh masa... |
|
|||||||