|
|
PENDAPAT
Selasa Mei 19, 2009
Penubuhan Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen
MALAYSIAThink Tank (MTT) mengalu-alukan usaha yang dicadangkan oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Noh Omar, untuk menubuhkan Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen seperti yang dinyatakan oleh beliau pada 11 Mei yang lalu. Berdasarkan kenyataan beliau, majlis ini ditubuhkan untuk mengendali dan menyelaras projek-projek pertanian disetiap kawasan Parlimen. Disamping itu, beliau turut menjamin bahawa semua bantuan, peruntukan dan kemudahan yang disediakan oleh kementerian akan sampai dengan cepat dan berkesan. MTT baru-baru ini telah memulakan satu projek yang kami namakan sebagai projek “Petani Pahlawan Negara” (PAPAN). Melalui projek ini kami mengkaji bagaimana kebajikan dan produktiviti petani boleh dipastikan, demi memastikan kedudukan mereka sebagai pengeluar barangan asas terpenting bagi negara terjaga. MTT, melalui PAPAN, sedia membantu pihak Kementerian. MTT berharap tidak ada pihak cuba mempolitikkan usaha ini kerana ia melibatkan periuk nasi petani. Sekiranya ada ahli-ahli Majlis yang dilantik berdasarkan parti politik, maka Majlis tersebut mestilah mempunyai keahlian yang rentas parti, bukan daripada satu-satu parti tertentu sahaja. Sikap kepartian perlu dielakkan kerana matlamat akhir kita ialah untuk menjaga kebajikan petani yang merupakan pahlawan sebenar negara. MTT juga menyarankan agar Datuk Noh Omar memastikan Majlis ini tidak menjadi satu lapisan birokrasi yang menyukarkan kehidupan petani. Disamping itu, Majlis ini perlu memberi fokus utama dalam usaha mempertingkat produktiviti sektor pertanian melalui penggunaan teknologi terkini, termasuklah penggunaan peralatan, racun, dan baja termoden. Mior Isfandy Mior AzizanPenyelidik, Projek Petani Pahlawan Negara (PAPAN)(isfandy@malaysiathinktank.org) |
|
|||||||