MANUSIA & PERISTIWA

Mak Tom (Bhg 2): Azmin Ali rajin ke dapur!

Mak Tom cukup prihatin dengan kebajikan anak-anaknya

MAK Tom paling tak suka mendengar suara tinggi atau bahasa kesat anak-anaknya, terutama sekali selebriti Azwan Ali. Baginya suara dan bahasa yang dikeluarkan hendaklah sesuai dengan keadaan.

"Tak perlu meninggi suara, pakai bahasa kesat dan menjerit-jerit sepanjang masa macam Azwan. Yang hairan tu, Azwan seorang saja yang macam tu. Anak-anak lain tak pula. Azman, abang Azwan seorang yang tak cakap banyak. Kalau tanya sepatah, sepatah dia jawab.

"Begitu juga dengan Azmin (ahli parlimen Gombak dan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat) yang agak pendiam. Azwan tu mengikut habis perangai arwah ayahnya, Hj Ali Omar. Walaupun mulut bising, hatinya baik...," kata Mak Tom yang berusia 74 tahun.

Tambahnya lagi, "Mak Tom pula jenis penyengat. Kalau orang dah kacau, mulalah Mak Tom menyengat balik."

Pernah sekali apabila Azwan tengah bercakap dengan seorang kawan dengan menggunakan bahasa kesat, Mak Tom terus menekup mulut Azwan dan menamparnya.

"Mak Tom dah puas nasihat Azwan tu. Alhamdulillah, sekarang ni dah kurang sikit nampaknya...," katanya.

Sepanjang perbualan mengenai anak-anaknya yang enam orang - Norlia, Intan Darwini, Azman, Azmin, Azwan dan Umi Hafilda, Mak Tom paling kerap memuji keperibadian Azmin (anak keempat) dan Intan (anak kedua).

Buah hati Mak Tom....Naib Presiden PKR Azmin Ali dan adiknya, selebriti popular Azwan Ali

"Kalau Mak Tom ke dapur menyiapkan tempahan kueh atau makanan, Azmin dan Intanlah yang paling rajin menolong menemankan Mak Tom.

"Azmin akan basuh semua pinggan mangkuk, lap dapur sampai bersih barulah dia tidur. Itu yang makcik puji tentang Azmin. Kalau bab tulang urat, memang dia paling rajin.

"Masa belum berkahwin dulu, Azmin cekap buat rendang untuk hari raya. Makcik sendiri puji cara dia masak," kata Mak Tom.

Katanya lagi, walaupun pendiam Azmin agak cerewet orangnya bila tiba soal makanan dan kerja dapur.

"Azmin ni pembersih dan agak cerewet bila bab makanan ni. Kalau tak kena dengan tekak dia, dia takkan makan. Selalunya macam tu lah....Tapi apa yang makcik kagum tentang Azmin ni, walaupun sudah berkahwin dan mempunyai anak-anak, dia masih lagi menjenguk ke dapur.

"Mungkin sekarang agak kurang sikitlah sebab dia sibuk dengan kerja politik dia," kata ibu yang selalu prihatin tentang anak-anaknya.

Katanya lagi, "Yang Azwan pula rajin membawa Mak Tom pergi menziarah rumah saudara mara. Ke mana saja Mak Tom nak pergi, dia lah yang akan drive kalau dia tak sibuk."

"Mak tak makan ayam, Wan....," kata Mak Tom. Azwan Ali senantiasa memberi layanan istimewa pada ibu tersayang

Menyingkap zaman membesarkan anak-anaknya, Mak Tom berkata, dalam semua anaknya, yang paling nakal sekali ialah Azmin.

"Masa kecik-kecik dulu, ketika dia berumur 8 tahun, Azmin suka merengek minta mainan. Kalau pergi shopping tu, dia yang akan minta belikan mainan. Satu hari tu, dia menangis dan hempas-hempas badan, tak nak berjalan sampai dibelikan mainan yang dia hendak.

"Makcik pula jenis yang tak suka memanjakan anak-anak. Makcik cubit Azmin dan terus bawa dia balik.

"Itu prinsip makcik. Makcik tak akan belikan apa yang anak-anak mahukan. Bila dia tak minta, baru makcik belikan sebab dia tak ada pilihan," kata Mak Tom yang selalu memantau kerja sekolah anak-anaknya.

Begitu juga dengan duit sekolah. Mak Tom hanya akan serahkan duit yuran ke tangan guru sekolah dan tidak melalui anak-anaknya.

"Apa-apa yuran yang hendak dibayar, mesti ada surat. Dan makcik sendiri akan bayar pada guru dan bukan memberi melalui anak-anak. Makcik mendidik anak-anak cara begini supaya dia tahu nilai duit.

"Sampai besar, anak-anak makcik jimat cermat. Mereka tak akan mudah berbelanja sesuka hati. Kalau hendak membeli sesuatu, mereka akan rujuk kepada makcik dulu.

"Masa mula-mula kerja dulu, anak-anak Mak Tom akan serah semua duit pada Mak Tom. Mak Tomlah yang akan ajar mereka cara nak 'budget'. Sebab itu sampai sekarang mereka tak akan boros tak tentu arah," katanya.

Sebenarnya arwah suami Mak Tom, Hj Ali lebih 'strict' dalam hal mendidik anak-anak kerana beliau mendidik ikut ala tentera.

Mak Tom senantiasa mendoakan kebahagiaan keluarganya. Kelihatan keluarga besar Mak Tom ketika berhari raya di rumah Azwan Ali baru-baru ini

"Semuanya diberi berjadual dan arwah Hj Ali seorang yang cukup kuat berdisiplin. Balik saja dari sekolah, semuanya kena ikut aturan - buat homework, mengaji, cabut rumput, siram pokok, sapu halaman dan macam-macam lagi.

"Hendak tengok TV, pada hari minggu saja. Itupun bukan semua rancangan yang boleh ditonton," kata Mak Tom yang nama sebenarnya ialah Cik Tom Yahya.

MAK TOM PAKAR DALAM BIDANG MASAKAN

Kenangan membesarkan anak-anak membuat Mak Tom tampak lebih bersemangat bercerita, tambahan pula bila diajak bersembang tentang topik masakan.

Ramai yang mengenali Mak Tom sebagai seorang yang pakar memasak. Kalau setakat menyediakan makanan untuk 500 orang, itu bukan sesuatu yang menyulitkan.

Apa yang membanggakan, Mak Tom tidak pernah belajar memasak atau menjahit dari sesiapapun. Semuanya dari pengamatan sendiri dan tunjuk ajar dari ibunya, Hajah Rafeah.

"Masa anak-anak kecik dulu, hidup kami susah. Yang mencari pula seorang saja (arwah suami). Makcik kenalah pandai mencari duit sendiri. Macam-macam yang makcik buat untuk membesarkan anak-anak, dari menjahit baju hinggalah mengambil upah memasak," kata ibu yang bersemangat cekal ini.

Apa saja juadah dari makanan ringan ke berat, semuanya menjadi kepakaran Mak Tom. Beliau cuma merasa saja sesuatu masakan itu dan sudah boleh mengagak apa bahan yang digunakan. Minat yang mendalam menjadikan Mak Tom selalu mempunyai daya keinginan untuk mencuba apa saja jenis masakan dan juga menjahit baju-baju moden dan lama.

Mak Tom tidak pernah jemu menitipkan nasihat kepada anak-anaknya

Seperkara yang unik tentang Mak Tom ialah beliau tidak boleh makan ayam.

"Tapi Mak Tom boleh masak apa saja lauk ayam - ayam percik, rendang, kari, kurma, semua Mak Tom boleh masak. Cuma Mak Tom tak boleh makan ayam sejak kecil lagi. Kalau makan juga, apa saja isi perut akan terkeluar. Mak Tom akan muntahkan. Entahlah, dari dulu lagi dah macam tu....," kata Mak Tom.

Peristiwa ingin belajar membuat karipap pusing menyebabkan Mak Tom terus nekad untuk menjadi pakar dalam bidang masakan.

"Mak Tom pernah tinggal di kuarters Mindef dulu sebab arwah suami kerja tentera. Ada seorang jiran tu memang pandai buat karipap pusing, jadi Mak Tom teringin lah nak buat sendiri. Bila Mak Tom minta resipi kat dia, dia bagi banyak alasan.

"Besoknya Mak Tom beli tepung dan cuba buat sendiri. Kali pertama tak jadi, makcik buang semua tepung tu. Tak puas hati, Mak Tom cuba lagi sampai jadi.

Bila kita inginkan sesuatu, Allah akan selalu beri laluan dan dorongan. Bila siap, Mak Tom bagi kat jiran tu sepinggan. Terdiam dia tengok karipap pusing Mak Tom," katanya.

Bagi Mak Tom, sebagai orang Islam kita tidak boleh kedekut ilmu. Apa saja ilmu yang ada dalam dada hendaklah dikongsi bersama, barulah kepandaian itu boleh diwarisi dan dimanfaatkan bersama.

MAK TOM SUDAH BIASA HIDUP SUSAH

Sebenarnya Mak Tom minat memasak sejak dari anak dara lagi. Dibesarkan dalam keluarga yang besar membuat Mak Tom sudah diasuh menyiapkan kerja-kerja rumah. Ada saja kerja rumah yang diterpaksa dibereskannya setiap hari.

"Mak Tom ditugaskan membasuh dan menggosok baju. Adik beradik saja 15 orang. Kalau masuk mak dan ayah Mak Tom, sudah 17 orang.

"Bayangkan kalau membasuh dan menggosok baju, dah macam kedai dobi. Mak Tom dan adik beradik semuanya dilatih untuk melakukan kerja rumah," kata wanita yang mempunyai sifat keibuan ini.

Begitu juga dengan bidang jahitan. Apa saja fesyen pakaian, baik yang moden mahupun yang lama, semua pernah dicuba menjahitnya. Pantang terlihat, potongan baju yang berkenan, Mak Tom akan usahakan menjahit sendiri.

"Mak Tom pernah mengambil sehelai kain batik arwah ibu dan membuat kebaya moden. Mula-mula Mak Tom akan potong atas kertas surat khabar dulu dan kemudiannya dipotong atas kain pula.

"Besoknya, puas mak mencari kain batik tu sampai ke petang. Mak Tom pula takut dimarahi, terus menyarungkan baju batik itu di badannya. Bila ibu Mak Tom melihat usaha Mak Tom, dia tak jadi marah. Besoknya dia belikan kain murah-murah untuk Mak Tom 'practice' buat baju," kata Mak Tom.

Mak Tom seorang ibu yang penyabar. Senantiasa tersenyum menghadapi kerenah anak-anak yang bermacam ragam

SABAR HADAPI KERENAH ANAK-ANAK

Bukan senang hendak mendidik anak-anak menjadi manusia yang berguna. Kata Mak Tom, walau apapun yang terjadi pada anak-anak, dia akan tetap menjadi pendorong mereka.

Seorang ibu, kata Mak Tom, tidak akan berhenti menyayangi anak-anaknya walau apapun terjadi.

"Kalaupun anak kita pencuri, perompak atau apa sekalipun, dia tetap anak kita.

Hanya malu saja yang akan terpalit ke muka tapi ikatan itu tetap ada. Sebab itu Mak Tom selalu nasihatkan anak-anak sebelum buat sesuatu pekerjaan itu, fikir habis-habis, jangan ikut sedap hati tanpa memikirkan akibatnya di kemudian hari," jelasnya.

Menurutnya lagi, kontroversi yang melanda Azwan Ali sejak 2 tahun kebelakangan ini, dikaitkan dengan macam-macam perkara termasuk isu mak nyah selalu membuat dirinya berada dalam keadaan runsing.

"Makcik dengar juga orang keliling cakap pasal Azwan suka bergaul dengan Mak Nyah dan bapok. Makcik nak cakap apa...dia dah besar panjang. Dah puas makcik nasihat Azwan.

"Masa makcik lahirkan dia, semua cukup sifatnya. Sampai besar, elok saja makcik tengok dia, takda pun yang kurang. Tapi makcik selalu pesan kat dia dan anak-anak lain, kalau kita rasa apa yang kita buat itu betul.... 'berani buat, berani tanggung'," kata Mak Tom.

Bagi ibu yang tidak pernah kenal erti jemu ini, apa yang penting dalam didikan anak-anak ialah mengawasi pergaulan mereka.

Mak Tom mengaku yang dia paling risau dan selalu prihatin tentang kawan-kawan anaknya.

"Makcik selalu tanya dengan siapa mereka berkawan kerana kawan-kawan boleh buat anak-anak kita jadi baik atau jahat. "Itulah orang tua-tau cakap, kalau kita berkawan dengan kambing, kita tak akan jadi kambing tapi bau kambing itu yang akan melekat pada kita....," kata Mak Tom dengan penuh maksud yang tersirat.

  • E-mail this story
  • Print this story

« Kembali
 
Ikuti Kami Di Twitter
Emel