suria

'Luar Biasa' Sarung Jersi Negara

Hong Chin Sing

KUALA LUMPUR: Demi negara, Hong Chin Sing sanggup kembali ke gelanggang selepas hampir enam tahun bersara.

Atlet ping pong paralimpik negara berusia 49 tahun itu nyata teruja dan bersemangat untuk membantu skuad negara meraih pingat emas pada temasya Sukan Para Asean (KL2017) bermula 17 September ini.

Menurut Chin Sing, timbul satu perasaan luar biasa setiap kali menyarung jersi negara selepas kali pertama dia menyarungnya pada tahun 2000.

Mengimbas kembali pembabitannya mewakili negara, Chin Sing memberitahu dia adalah atlet Malaysia yang pertama layak ke Kejohanan Dunia di Taipei pada tahun 2000.

"Satu perasaan yang sangat gembira ketika itu dan sejak itu saya terus memberi fokus untuk melakukan yang terbaik setiap kali mewakili negara.

"Tahun ini negara kita pula jadi tuan rumah untuk Sukan Para Asean, jadi saya tidak mahu melepaskan peluang untuk kembali mengibar bendera negara.

"Peluang ini akan digunakan sebaiknya, dan dalam masa sama juga mahu membantu pemain-pemain muda membangkitkan semangat mereka," jelasnya kepada mStar Online selepas sidang media Kita Juara pada Jumaat.

Jelas Chin Sing, pada tahun 2011 dia mengambil keputusan untuk bersara daripada mewakili negara kerana yakin sudah ada ramai pelapis dan pemain senior untuk menggantikan tempatnya.

"Beberapa kali juga sebelum ini saya dipanggil balik untuk menyertai skuad negara, tetapi saya menolaknya.

"Namun apabila memikirkan semangat negara, saya setuju untuk sama-sama menyertai kontinjen negara tahun ini.

"Untuk temasya ini, dengan gabungan barisan pemain senior dan baharu saya amat yakin kami mampu meraih tiga pingat emas yang disasarkan persatuan," katanya.

Dalam pada itu Chin Sing yang kini bertugas sebagai guru tuisyen di rumahnya di Ipoh mengakui atlet-atlet paralimpik sekarang jauh lebih bertuah berbanding zamannya dahulu.

"Pada awal dulu, saya terpaksa membuat 'road show' sendiri untuk memperkenalkan ping pong Orang Kurang Upaya (OKU) kepada umum.

"Sebulan dua kali saya akan turun ke Bangi bagi menjalani latihan.

"Ketika itu kemudahan bukan seperti sekarang yang cukup lengkap. Tambahan pula dengan sokongan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) menjadikan atlet makin mantap.

"Saya berharap atlet-atlet muda akan ada rasa penuh tanggungjawab untuk menghadiahkan kejayaan kepada negara.

"Pakai baju negara bukan sekadar pakai, tetapi perlu menghormatinya," jelas pemegang dua pingat emas Sukan Para Asean 2009 dan 2011.

Tambahnya, faktor umur bukan menjadi halangan untuk terus bersaing dengan pemain muda.

"Yang penting perlu ada disiplin dan semangat tinggi".

Artikel Sebelum

Chelsea Bukan Pilihan Terbaik

Artikel Berikut

Artikel Lain