suria

'Berkampung' Di Stadium Demi Aksi Final Malaysia-Thailand

STADIUM Shah Alam dibanjiri penyokong bola sepak tempatan yang berkampung sejak 10 malam Ahad bagi mengelakkan daripada kempunan mendapatkan tiket perlawanan akhir bola sepak antara Malaysia dan Thailand esok.

Ribuan penyokong berbaris panjang walaupun kaunter-kaunter tiket hanya mula dibuka pada 11 pagi bagi memastikan tidak terlepas peluang menyaksikan perlawanan bagi ibu segala pingat Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) itu.

Mengikut kenyataan Sekretariat Kuala Lumpur 2017 tiket tidak dijual secara dalam talian di laman web 2017. Tiket untuk penyokong tuan rumah dijual di Stadium Shah Alam manakala tiket untuk penyokong Thailand dijual di Stadium Melawati.

Tinjauan Bernama di Shah Alam mendapati ada penyokong yang sanggup membawa beg tidur malah tikar untuk tidur di perkarangan stadium berkenaan Ahad malam.

Seorang penyokong, Hasani Hassan, 28, berkata dia bersama-sama sembilan rakannya tiba di stadium pada 2 pagi Isnin.

"Tidur di perkarangan stadium sudah biasa bagi kami, tidak kira hujan atau tidak, saya tetap mahu mendapatkan tiket menyaksikan perlawanan Malaysia pada final ini.

"Sebagai rakyat Malaysia sudah pastinya saya memberi sokongan padu walaupun terpaksa bersusah-payah berbaris panjang," katanya kepada Bernama.

Seorang lagi penyokong, Badrul Hisham Abdullah, 25, berkata dia tidak mahu melepaskan peluang untuk menyaksikan perlawanan akhir Malaysia dengan Thailand.

"Saya sanggup memandu kereta sejak awal pagi tadi dari Kuala Lumpur semata-mata hendak membeli tiket perlawanan akhir Malaysia kerana difahamkan tiket tidak dijual secara dalam talian.

"Namun ia tidak menghalang saya untuk tidak menyaksikan perlawanan akhir Malaysia dengan Thailand yang merupakan lawan yang mantap pada (pasukan) kita," katanya.

Perlawanan dijadual bermula 8.45 malam.

Sebelum ini, venue bagi perlawanan akhir bola sepak lelaki itu dijadual berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil sekiranya ia melibatkan pasukan negara beraksi di pentas akhir.

Semalam, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam kenyataan mengumumkan Stadium Shah Alam dipilih sebagai venue bagi perlawanan akhir bola sepak lelaki itu.

Malaysia mengesahkan tempat di final selepas menundukkan Indonesia 1-0 pada aksi separuh akhir pada Sabtu malam manakala Thailand turut mara setelah mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Myanmar dalam satu lagi perlawanan separuh akhir.

Dalam pada itu, perlawanan penentuan pingat gangsa antara Indonesia menentang Myanmar akan diadakan di Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS) pada 4.30 petang pada hari yang sama. -Bernama

Stadium Shah ALam

Artikel Berikut

Artikel Lain