suria

Aksi Malaysia-Indonesia Diramal 'Panas'

Datuk Ong Kim Swee

PETALING JAYA: Aksi separuh akhir bola sepak lelaki Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) antara Malaysia menentang Indonesia malam Sabtu disifatkan sebagai perlawanan 'panas'  lebih-lebih lagi selepas insiden bendera negara jiran itu dicetak terbalik dalam buku cenderamata khas sempena temasya dwi tahunan ini.

Menjelang saingan itu,  ketua jurulatih Malaysia, Datuk Ong Kim Swee menasihati penyokong kedua-dua pasukan terutamanya tuan rumah supaya mengetepikan segala isu tidak berkaitan dan menjaga tingkah laku sepanjang perlawanan tersebut.

"Apa yang penting bola sepak jadi perlawanan menarik untuk ditonton bukan perlawanan untuk isu-isu lain. Saya harap (aksi) esok tidak beri impak negatif.

"Kehadiran penonton amat penting untuk beri motivasi kepada pemain Indonesia dan Malaysia. Tingkah laku harus dijaga. Jadi saya harap tiada insiden buruk berlaku selepas dan sebelum perlawanan," katanya kepada pemberita pada sidang media pra perlawanan di sini, Jumaat.

Sementara itu, pembantu jurulatih Indonesia Bima Sakti turut mengingatkan semua penyokong supaya menjaga kerukunan dan persaudaraan kedua-dua negara dalam perlawanan tersebut.

"Esok hanya pertandingan sepak bola. Yang pasti kami berjuang untuk sepak bola, tiada yang lain," katanya.

Malah, beliau menganggap Malaysia sebagai sebuah pasukan yang berpeluang cerah untuk muncul juara perlawanan itu.

"Kita sudah berjuang untuk sampai ke separuh akhir. Namun kita anggap Malaysia bagus pada temasya ini. Mereka salah satu pasukan yang ada peluang untuk jadi juara," katanya.

Sebanyak 70,000 tiket disediakan untuk penyokong pada aksi malam Sabtu itu dengan 60,000 diperuntukkan kepada penyokong Malaysia manakala 10,000 lagi untuk penyokong Indonesia.

Pada aksi Malaysia menentang Myanmar malam Isnin lalu, berlaku insiden yang boleh dianggap memalukan negara apabila dua penyokong lawan dibelasah teruk selepas tamat perlawanan itu.

Rakaman video yang menunjukkan kedua-dua lelaki tersebut dibelasah di luar stadium menjadi tular di media sosial.

Insiden itu dikecam netizen dengan ada yang menyifatkan tindakan tersebut sebagai tidak bermoral.

KL2017, bola sepak

Artikel Berikut

Artikel Lain