suria

Malaysia Terus Ungguli Sukan SEA

Atlet Pencak Silat Negara, Rosli Mohd Sharif (kiri) dan Mohd Taqiyuddin Hamid meraih pingat emas acara akhir Pencak Silat Seni (Artistik) Ganda di Pusat Konvensen Kuala Lumpur pada Khamis. fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Malaysia meneruskan misi menuai emas menerusi pasukan karate, skuasy, petanque dan ekuestrian tatkala temasya Sukan SEA Ke-29  sudah berlangsung separuh jalan pada Khamis disebalik berita membimbangkan bahawa beberapa atlet tuan rumah mengalami keracunan makanan.

Turut menjadi perhatian ialah atlet tukul besi berumur 16 tahun Grace Wong dan petinju bertubuh kecil  Muhammad Fuad Mohd Redzuan yang muncul antara bintang merangkul lapan emas buat negara menjelang lewat tengah hari Khamis.

Silat, menembak dan petanque lelaki masing-masing menyumbang satu emas.Ditugaskan untuk merealisasikan sasaran 111 pingat emas, tuan rumah kekal mendahului jumlah pungutan pingat dengan 58 emas.

Mengekori di belakang ialah Vietnamdengan dengan 31,  Singapura 27,  juara keseluruhan 2015 Thailand 19, Indonesia 15, Filipina 11 dan Myanmar lima.

Grace Wong, pelajar tingkatan empat, mencuri tumpuan apabila melakukan balingan pertama menakjubkan untuk mencipta rekod Sukan SEA pada jarak 59.24m dalam acara baling tukul besi untuk memecahkan rekod Mingkammon Koomphon daripada Thailand 56.57m dua tahun lepas.

 ]

Wong, pemenang pingat gangsa dua tahun lepas, menghadiahkan pingat emas kedua buat Malaysia dalam acara itu selepas rakannya yang juga anak kelahiran Sarawak Jackie Wong Siew Cheer merangkul emas dan turut memecahkan rekod temasya bagi acara lelaki, Rabu.

Muhamed Fuad, yang menyasarkan pingat perak, membanggakan Malaysia apabila meraih emas pertama negara dalam acara tinju dalam tempoh lapan tahun dengan mengalahkan jaguh tinju Thailand Thani Narinram pada final acara light flyweight.

Seorang lagi petinju Malaysia Adli Hafidz Mohd Pauzi meraih perak selepas menewaskan petinju pilihan daripada Filipina Marvin John Nobel Tupas.

Skuad karate negara turut unggul dengan memenangi pingat emas keenam dalam acara kata lelaki dan perak menerusi acara kata wanita berpasukan dengan dua lagi acara sedang dipertandingkan sebelum sukan itu menutup tirai pada Khamis.

Emas kedua skuasy diraih daripada beregu campuran membabitkan semua atlet Malaysia iaitu  Sanjay Singh Chal dan S. Sivasangari yang menang tipis 11-9, 11-10 ke atas Ryan Neville Pasqual  dan Andrea Lee Qia Ji to untuk meneruskan dominasi Malaysia dalam sukan itu yang dijangka membawa pulang tujuh emas.

Membuat kemunculan semula selepas tujuh tahun bersara,  Quzandria Nur Mahamad Fathil dan abangnya Mohd Qabil Ambak membuktikan mereka masih unggul dengan merangkul emas dan perak dalam acara  dressage individu, sehari selepas memenangi emas dalam dressage berpasukan.

Petanque menyumbangkan pingat emas kedua buat  Malaysia menerusi  beregu lelaki Saiful Bahri Musmin dan Syed Akmal Fikri Syed Ali dengan mengikut jejak langkah Muhammad Hafizuddin Mat Daud yang mempertahankan gelaran perseorangan lelaki pada Selasa.

Malaysia memulakan aksi dalam pencak silat dengan langkah kanan menerusi Mohd Taqiuddin Hamid dan Rosli Mohd Sharif yang menewaskan pesilat Indonesia Hendy dan Yolla Primadona Jumpil dalam acarat ganda lelaki untuk merangkul emas.

Dengan 20 lagi pingat emas dipertaruhkan, pencak silat merupakan prospek penting untuk pingat bagi Malaysia dan wakil tuan rumah dijangka mampu mencapainya berdasarkan kejayaan muncul juara keseluruhan pada Kejohanan Silat Asia Tenggara pada Mac tahun lepas.


Muhd Ezuan Nasir Khan menuai emas ketiga buat Malaysia dalam pertandingan selama empat hari di Lapang Sasar Menembak Nasional, muncul tempat pertama dalam 50m rifle prone lelaki dengan mengumpul 242.8 mata untuk mengalahkan penembak Singapura Ong Jun Hong dengan 239.5 mata untuk perak.

Namun pasukan boling padang negara berdepan detik mengecewakan.Pasukan Filipina meranapkan harapan Malaysia untuk menuai emas apabila menjuarai acara fours lelaki menerusi  Curte Robert Guarin, Emmanuel Portacio, Leoncio Carreon Jr dan Ronald Lising  dengan mata tipis 16-14 mengalahkan  Daeng Dhadyry Dahasry, Izzat Shameer Dzulkeple, Safuan Said dan Zulhilmie Redzuan.

Dalam badminton, Malaysia perlu mencari pingat emas dalam acara perseorangan selepas tersingkir dalam pertandingan berpasukan.

Pasukan wanita kalah 1-3 kepada juara bertahan Thailand manakala pasukan lelaki dibelasah 3-0 oleh Indonesia dalam perlawanan akhir lelaki. - BERNAMA

pencak silat

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Warna-Warni KL2017, Khamis

Artikel Lain