suria

Berpakaian Kostum Unik Beri Sokongan Kepada Atlet

KUALA LUMPUR: Jika anda berkunjung ke venue-venue  Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, anda pasti terlihat kelibat penyokong-penyokong Thailand dengan kostum unik yang begitu teruja menyokong atlet negara mereka.

Situasi ini sebenarnya adalah perkara biasa di mana-mana sahaja pertandingan Sukan SEA kerana itulah identiti yang dipamerkan sebahagian penyokong negara Gajah Putih itu.

Seorang daripada mereka, pereka kostum Sompong Katkaew, 49, berkata beliau datang ke Kuala Lumpur semata-mata untuk memberi sokongan kepada atlet negaranya pada temasya Sukan SEA ke-29, selain sebagai menyatakan kesetiaan kepada negara mereka.

Kehadiran Sompong dan rakan-rakannya di venue Sukan SEA ke-29 pasti akan menarik perhatian orang ramai berikutan penampilan dengan memakai kostum unik itu, sehingga ramai yang mahu bergambar dengan mereka termasuk atlet-atlet bukan daripada Thailand.

Sompong berkata minatnya terhadap rekaan kostum seperti itu  digunakan untuk menampilkan kelainan dan identiti negaranya sewaktu memberikan sokongan kepada atlet negaranya, seterusnya mempromosikan Thailand.

"Saya pergi ke semua acara sukan untuk beri sokongan kepada atlet negara saya… memang penat tapi saya sanggup lakukannya. Setiap venue, kami gunakan kostum berbeza," katanya semasa ditemui di Pusat Akuatik Nasional, Bandar Sukan Kuala Lumpur.

Menurutnya, usaha itu mendapat sokongan penuh daripada kerajaanThailand yang turut memberikan sumbangan untuk membantunya mempromosi negara itu.

Sompong berkata selain tarikan pelbagai kostum seperti kuda dan bendera, alat muzik seperti drum dan trumpet digunakan selain memperagakan baju tradisional negara itu semasa memberi sokongan.

Beliau yang hadir bersama dengan rakan senegaranya dikenali sebagai Samart, 52, berkata selain Sukan SEA, mereka juga pernah pergi hingga ke Brazil, China dan United Kingdom untuk memberi sokongan kepada atlet Thailand semasa beraksi pada Sukan Olimpik, Sukan Asia dan Sukan Paralimpik.

"Saya mahu memperlihatkan dan mempromosikan negara  kami Thailand. Sama seperti seorang ikon, bila orang ramai tengok kami  mereka akan tahu saya  daripada Thailand. Saya seronok melakukan aktiviti seperti ini," katanya. - BERNAMA

KL2017, kostum unik

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain