Pingat Perak Hadiah Hari Jadi Paling Istimewa Zaidatul - Sukan SEA 2017 | mStar

Pingat Perak Hadiah Hari Jadi Paling Istimewa Zaidatul

Diterbitkan: Rabu, 23 Ogos 2017 10:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Ratu pecut negara Zaidatul Husniah Zulkifli menerima hadiah hari jadi paling istimewa apabila meraih pingat perak acara 100m wanita Sukan SEA di Stadium Nasional di sini, Selasa malam.

Atlet kelahiran Alor Setar, Kedah berusia 24 tahun itu yang baru menyambut hari kelahirannya dua hari lalu, berkata kejayaan itu menjadi kenangan paling penting buat beliau.

“Walaupun, masa pada hari ini tidak mencapai catatan terbaik saya, (11.45s), saya masih berpuas hati dengan pencapaian ini kerana dapat mencapai sasaran meraih pingat, berbanding Sukan SEA lalu di mana saya tidak dapat meraih pingat,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian hadiah di sini.

Beliau meraih pingat perak dengan catatan masa 11.74s, manakala pingat emas menjadi milik wakil dari Vietnam, Le Tu Chinh dengan catatan masa 11.56s.

Shanti Pereira dari Singapura yang memperbaharui rekod kebangsaan negara itu dengan catatan 11.73s pada saingan separuh akhir, terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa apabila hanya mencatat 11.76s pada final.-- Bernama


Tags / Kata Kunci: Zaidatul , Sukan SEA
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan