suria

Tinju: Malaysia Bakal Tamatkan Kemarau Emas

KUALA LUMPUR: Peluang petinju negara, Muhamad Fuad Mohd Redzuan untuk menamatkan kemarau pingat emas selama lapan tahun pada Sukan SEA hampir menjadi kenyataan apabila dia mengesahkan tiket ke final, petang Selasa.

Dalam acara separuh akhir kategori light flyweight (49kg) yang berlangsung di Dewan 3, Pusat Perdagangan dan Pameran Antarbangsa Malaysia (Mitec) menyaksikan Mohd Fuad menundukkan lawannya, Lasavongsy Bounpone dari Laos.

Pada aksi final (Khamis), pemegang pingat gangsa pada Sukan SEA Myanmar itu akan berdepan Thani Narinram dari Thailand.

Petinju negara gajah putih itu turut mara ke final selepas menundukkan Huynh Ngoc Tan dari Vietnam.

Pada edisi di Singapura, Mohd Fuad terkandas pada aksi suku akhir.

Kali terakhir skuad tinju merasai emas adalah pada edisi 2009 di Laos menerusi Mohd Farkhan Haron dan Mohd Fairus Azwan Abdullah.

Muhammad Fuad ketika ditemui pemberita berkata dia tiada masalah untuk menundukkan Bounpone selepas meneliti corak serangan lawannya itu sebelum pertembungan separuh akhir.

"Alhamdulillah, perlawanan hari ini berjalan seperti yang dirancang. Bounpone banyak melakukan serangan dan saya mengambil kesempatan itu untuk bertahan sebelum melakukan serangan balas," katanya.

Memandangkan skuad tinju ada tempoh rehat selama sehari sebelum aksi final Khamis ini, Muhammad Fuad berkata dia akan mengkaji corak gerakan lawan dari Thailand itu.

"Selepas aksi separuh akhir ini saya bertambah yakin untuk memenangi pingat emas berbanding pingat perak yang disasarkan sebelum ini," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain