suria

Sepak Takraw Wanita Raih Perak

KUALA LUMPUR: Skuad sepak takraw wanita negara meraih pingat perak acara regu wanita  pada Sukan SEA Ke-29, mengatasi pencapaian dua tahun lepas iaitu gangsa, pada aksi yang berlangsung di Stadium Tertutup Titiwangsa, Isnin.

Pada perlawanan terakhir liga sepusingan menentang Thailand, kedua-dua pasukan memerlukan kemenangan untuk mengesahkan pingat emas setelah Malaysia dan Thailand terikat dengan empat mata menerusi kemenangan ke atas Indonesia dan Filipina, Ahad.

Regu Thailand yang diketuai Thidarat Soda bermula garang  pada set pertama dengan mudah menewaskan regu negara 21-10.

Skuad negara cuba bangkit di set kedua dengan memberi tentangan hebat namun Thailand ternyata berada di kelas tersendiri apabila regu negara turut tewas dengan 21-12.

Kekalahan itu menyaksikan skuad negara meraih pingat perak dengan mengumpul empat mata keseluruhan manakala Thailand cemerlang dengan mengumpul enam mata untuk muncul juara dan menggondol emas.

Filipina dan Indonesia sepatutnya berkongsi pingat gangsa berdasarkan format kejohanan yang tidak mempunyai perlawanan penentuan tempat ke-3 dan ke-4.

Namun berikutan insiden pada Ahad yang melibatkan pasukan Indonesia memprotes dan meninggalkan gelanggang menyebabkan pasukan itu tidak layak untuk menerima gangsa.

"Kita sedia maklum bahawa Thailand merupakan sebuah pasukan yang kuat. Apa pun kita akur dengan keputusan mencapai pingat perak ini.

"Anak buah saya telah memberi saingan sebaik mungkin namun masih terdapat beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki pada masa akan datang," kata jurulatih negara Md Fikri Md Nor.

Untuk rekod, ini merupakan pertama kali skuad wanita negara meraih pingat perak dan merupakan pencapaian terbaik setakat ini  dalam Sukan SEA. - BERNAMA 

Kl2017, sepak takraw wanita

Artikel Sebelum

Memanah Sumbang Dua Emas

Artikel Berikut

Artikel Lain