Tak Jumpa Tandas! - Rungut Pengunjung KL2017

Diterbitkan: Jumaat, 18 Ogos 2017 6:31 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kurang 24 jam lagi bakal berlangsung upacara perasmian Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017), kemuncak penganjuran yang dirancang dalam suasana gilang-gemilang di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Tidak dinafikan persiapan rapi dirangka untuk hari bersejarah itu, namun kurang enak apabila kedengaran rungutan orang ramai mengenai beberapa kelemahan dalam mengendalikan temasya dwitahunan itu.

Aspek utama yang diketengahkan adalah kemudahan yang dikatakan serba tidak lengkap di beberapa venue acara yang dipertandingkan di sekitar Kompleks Sukan Bukit Jalil.

Bapa kepada tiga anak, Mohd Nur Hani Bastani, 38, berkata mereka anak-beranak terpaksa berjalan hampir 15 minit dari Padang Sintetik Majlis Sukan Negara (MSN) menuju Pusat Akuatik Kebangsaan di Bukit Jalil semata-mata untuk mencari tandas.

"Kami tak jumpa tandas dari tadi, apatah papan tanda 'tandas' pun tak nampak. Jadi kami ambil keputusan untuk berjalan ke Pusat Akuatik dari venue acara memanah dengan harapan dapat jumpa tandas.

"Mungkin persiapan masih belum siap sepenuhnya tapi takkan nak tunggu hari pembukaan baru kemudahan semua lengkap. Sepatutnya sediakanlah tandas bergerak untuk memudahkan orang ramai," katanya.

Sementara itu, seorang penonton yang hanya ingin dikenali sebagai Emma turut meminta pihak penganjur menyediakan maklumat lengkap mengenai cara menggunakan basikal yang disediakan di situ.

"Kami datang ke sini dengan menaiki LRT. Dari sana kami terpaksa berjalan kaki untuk sampai ke perkarangan stadium. Mulanya nak naik basikal yang disediakan tapi maklumat ringkas yang disediakan tak jelas.

"Mungkin sebab itu basikal yang disediakan saya nampak tak berusik. Sepatutnya kena uar-uarkan orang ramai mengenai kemudahan itu. Setidak-tidaknya kena ada seorang petugas untuk membantu orang ramai mengenai cara-cara menggunakan kemudahan itu," katanya.

Beberapa pengamal media yang membuat liputan di sekitar Bukit Jalil juga menggesa Jawatankuasa Pengelola Sukan SEA Malaysia (Masoc) agar lebih peka dengan keselesaan media yang berusaha memberi liputan terbaik sepanjang penganjuran temasya itu.

Berdasarkan pengalaman penulis, tiada kemudahan buggy  di stesen LRT Bukit Jalil untuk membawa wartawan dan jurugambar ke setiap venue acara yang dipertandingkan.

Difahamkan perkhidmatan buggy hanya disediakan untuk pihak kenamaan (VIP) sahaja.

Malah beberapa buggy 'Grab Car' yang disediakan juga adalah untuk pengguna perkhidmatan itu dengan syarat mereka memuat naik aplikasi tersebut di telefon bimbit.

Pemandu buggy 'Grab Car' yang enggan namanya disiarkan memberitahu kemudahan itu dikhaskan kepada pengguna perkhidmatan e-hailing tersebut yang akan membawa penumpang dari jalan berhadapan pejabat MSN ke Sekolah Sukan Bukit Jalil.

"Kami tidak dimaklumkan mengenai sebarang perkhidmatan untuk membawa pengamal media ke mana-mana venue pertandingan.

"Kami hanya perlu bawa penumpang Grab Car yang mahu menggunakan perkhidmatan itu sehingga ke Sekolah Sukan Bukit Jalil. Mereka perlu tunjuk aplikasi Grab Car yang sudah dimuat naik dalam telefon bimbit," katanya.

Lebih mengecewakan apabila ada petugas media yang hamil empat bulan terpaksa berjalan kaki hampir 20 minit dari stesen LRT Bukit Jalil ke venue acara memanah.

"Bayangkan dalam keadaan cuaca panas terik dan keadaan yang tidak berapa mengizinkan saya terpaksa berjalan kaki hampir 20 minit.

"Demi tugas saya terpaksa gigihkan diri untuk sampai ke venue pertandingan. Ada perkhidmatan buggy tapi saya kecewa apabila dimaklumkan pemandu itu terpaksa menunggu dua pegawai yang ingin membeli baju Sukan SEA di booth jualan yang disediakan berdekatan Pusat Akuatik Kebangsaan.

"Yang ada hanyalah basikal. Tapi dengan keadaan yang berbukit dan berbadan dua saya fikir kemudahan yang disediakan tidak mesra pengguna. Mohon Masoc peka dengan masalah ini," katanya.

Seorang lagi wartawan sukan akhbar bahasa Melayu yang hanya ingin dikenali sebagai Noor turut merungut dengan larangan membawa kenderaan yang dikenakan terhadap pihak media.

"Sepatutnya penganjur peka dengan keselesaan media yang perlu bertugas untuk membuat liputan.

"Kami bukan sahaja terpaksa naik pengangkutan awan malah perlu berjalan kaki untuk pergi ke setiap venue. Janji ada shutter tapi mana? Dalam temasya seperti ini, masalah ini tak patut berlaku," katanya.

Jelasnya, paling mengecewakan apabila ada segelintir penyokong yang dibenarkan masuk oleh anggota bertugas untuk meletak kenderaan berhampiran Pusat Skuasy Nasional di Bukit Jalil.

"Agak terkejut juga apabila alasan mereka dibenarkan bawa masuk kenderaan kerana ada anak kecil yang sedang tidur.

"Takkan ada unsur berat sebelah," katanya.









Tags / Kata Kunci: KL2017 , Grab Car

iklan

Video

Isnin, 20 November 2017 2:30 PM

Karier Tak Rosak - Fezrul khan

Isnin, 20 November 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nabila Razali Simpan Foto Aedy Ashraf?

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Rabu, 15 November 2017 9:00 AM

Bakat Mafarikha Tersia-sia Enam Tahun

Kolumnis

iklan

Iklan