suria

Hotel Penuh Gara-Gara Sukan SEA

Delegasi dari Filipina melalui prosedur pemeriksaan keselamatan yang diawasi pihak polis di Hotel Eastin.

PETALING JAYA: Menjelang acara pembukaan Sukan SEA ke-29 yang akan berlangsung pada minggu depan, kebanyakan hotel di seluruh Lembah Klang dilaporkan menerima permintaan yang tinggi dan terdapat hotel yang melaksanakan pemeriksaan keselamatan yang ketat.

Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Hotel Malaysia (MAH), Yap Lip Seng berkata, selain 12 hotel yang ditetapkan untuk para peserta temasya tersebut hampir sepenuhnya ditempah, pelawat terpaksa menempah hotel-hotel lain agar tidak ketinggalan menyaksikan Sukan SEA tahun ini.

"Acara sukan yang hebat seperti ini adalah rahmat kepada semua orang.

"Dan ini amat dihargai kerana tahun ini menjadi tahun yang sukar untuk industri ini," katanya.

Beliau menambah bahawa sebanyak 150 hotel anggota MAH di Lembah Klang akan menjadi paling sibuk bermula 18 hingga 20 Ogos.

Di sesetengah hotel, langkah khas telah dilaksanakan untuk memastikan keselamatan sepanjang 12 hari acara itu berlangsung.

Tinjauan di Hotel Eastin di sini menunjukkan pengimbas dipasang di pintu masuk dan keluarnya yang dikendalikan oleh polis.

Naib Presiden Persatuan Pemilik Hotel Malaysia, Mohamad Halim Merican berkata, langkah keselamatan itu adalah sebahagian daripada keperluan keselamatan Sukan SEA ke-29.

"Acara sukan itu baik untuk perniagaan, terutama bagi mereka yang mengendalikan atlet dan perwakilan," katanya.

Halim, yang juga Pengurus Besar Hotel Seri Pacific Hotel berkata, kapasiti tempahan bilik di hotel itu sudah hampir mencecah 80%.

Sukan Sea

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain