suria

Pembukaan KL2017 Penuh Elemen Kejutan

Zolkples Embong.

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Pengelola Malaysia (Masoc) menjanjikan upacara pembukaan temasya Sukan SEA ke-29 (KL2017) pada 19 Ogos depan sesuatu yang gilang-gemilang dan akan terpahat di hati seluruh rakyat Malaysia dan rantau Asia Tenggara.

"Masoc mahu upacara pembukaan rasmi temasya Sukan SEA nanti sebagai suatu pengalaman menarik dan diingati. Kami akan pastikan persembahan itu berbaloi dengan nilai untuk wang semua penonton yang datang ke Stadium Nasional.

"Bagaimanapun, saya tidak boleh mendedahkan elemen-elemen persembahan yang akan dipaparkan. Biarlah ia menjadi rahsia," kata Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat Masoc, Datuk Seri Zolkples Embong.

Apa yang pasti menurut Zolkples, syarikat yang dilantik untuk mengendali dan mereka cipta persembahan untuk majlis pembukaan dan penutupan rasmi temasya dwitahunan itu telah menyediakan yang terbaik untuk tatapan rakyat Malaysia dan rantau Asia Tenggara.

Katanya, walaupun Masoc 'merahsiakan' elemen-elemen persembahan yang bakal disajikan pada malam pembukaan rasmi, penjualan tiket untuk majlis itu sudahpun mencapai 70 peratus.

Stadium Nasional di Bandar Sukan Kuala Lumpur, yang baharu sahaja menjalani kerja-kerja naik taraf dan pengubahsuaian, boleh menempatkan sejumlah 85,000 penonton dalam satu masa.

Zolkples berkata upacara penutupan rasmi juga akan mempunyai elemen kejutan yang tersendiri.

"Di samping kita mengadakan majlis penutupan rasmi, ia juga akan menjadi sambutan Ambang Merdeka pada 30 Ogos," katanya.

Temasya KL2017 yang akan mempertandingkan 38 jenis sukan dan 404 acara akan berlangsung secara rasmi dari 19 hingga 30 Ogos.

Ibu negara Kuala Lumpur akan menjadi tumpuan lebih 8,000 atlet, pegawai dan tetamu sepanjang temasya itu berlangsung.

Selepas 16 tahun, Malaysia sekali lagi menjadi tuan rumah kepada sukan berbilang acara terbesar di Asia Tenggara, sekaligus menyamai rekod Thailand yang pernah menjadi tuan rumah Sukan SEA sebanyak enam kali. - BERNAMA

Sukan SEA 2017

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain