suria

Babak Akhir Atlet Sebelum Bertarung

Pelbagai program disediakan sepanjang tujuh hari atlet berkampung di Kuala Lumpur menjelang Sukan Sea KL 2017.

KUALA LUMPUR:  Bahang Sukan SEA (KL2017) semakin terasa, lebih-lebih lagi apabila lagu Negaraku dinyanyikan oleh 700 atlet negara.

Ketua Kontinjen (CDM) Datuk Marina Chin berkata, perhimpunan atlet pada petang Jumaat merupakan yang terakhir sebelum temasya KL2017 bermula.

"Semua atlet negara dikumpulkan di sini bagi mengeratkan lagi hubungan antara satu sama lain.

"Pada masa sekarang persiapan mental serta membina semangat  sangat penting menjelang Sukan SEA.

"Pelbagai program disediakan sepanjang tujuh hari atlet berkampung di sini dan kita akan turut membawa  bekas-bekas atlet untuk berkongsi motivasi,"  jelasnya pada sidang media selepas memberi taklimat pada Perhimpunan Atlet di Hotel Renaissance, di sini.

Venue ini merupakan perkampungan rasmi kontinjen negara pada KL2017 yang bermula 19-30 Ogos ini.

Dalam masa sama, Marina memberitahu seramai 171 atlet dalam lima acara tidak dapat menyertai perhimpunan ini kerana mempunyai kejohanan dan latihan di luar negara.

"Bagaimanapun saya percaya mereka telah dipupuk dengan semangat jati diri sama seperti atlet lain yang ada di sini," ujarnya.

Beberapa sukan dikecualikan daripada menyertai perhimpunan ini seperti skuad ekuestrian yang sedang menghadapi kejohanan di Belgium, manakala pasukan polo menjalani latihan di Pekan.

Manakala pasukan muay thai menjalani latihan di Bangkok dan pasukan terjun berlatih di China hingga 18 Ogos.

SEA KL 2017

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain