suria

Pesilat Negara Perlu Capai Sasaran Lapan Pingat Emas

Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR: Barisan pesilat negara tidak mempunyai pilihan selain mencapai sasaran lapan pingat emas yang diletakkan pada temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017), Ogos ini.

Setiausaha Agung Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata silat merupakan antara acara yang menawarkan jumlah pingat tertinggi iaitu 20 pingat emas, memainkan peranan besar dalam memastikan impian Malaysia muncul juara keseluruhan tercapai.

Katanya, skuad silat negara kini sedang ‘bertapa' di Bukit Fraser sejurus pulang daripada menjalani latihan intensif di kawasan pergunungan Da Lat, Vietnam, awal bulan ini telah dipersiapkan secukupnya bagi menghadapi saingan di KL2017.

"Sebanyak 16 pingat emas daripada acara silat ditawarkan pada hari-hari terakhir Sukan SEA, jadi demi membantu negara menjadi juara keseluruhan, kita tiada pilihan lain selain memastikan sasaran lapan pingat emas itu menjadi milik negara,” katanya ketika ditemui pemberita di majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di KL Sports City, Bukit Jalil, Rabu.

Justeru, bagi memastikan sasaran lapan pingat emas itu tercapai Pesaka telah merangka beberapa program pemantapan khas buat 26 pesilat negara sebagai persediaan terakhir sebelum turun beraksi pada temasya dwitahunan berkenaan.

“Kita mahu menebus kekecewaan membawa pulang hanya tiga pingat emas sewaktu edisi di Singapura. Oleh itu, mereka akan mengikuti beberapa program latihan lasak sebagai persiapan terakhir sebelum dilepaskan seperti ‘harimau kelaparan' pada Sukan SEA nanti,” katanya. - BERNAMA

pesilat, Sukan SEA

Artikel Sebelum

Prem Kumar Idam Emas

Artikel Berikut

Gandingan Mantap JST!

Artikel Lain