PSM Tidak Mahu Gadai Nyawa Atlet

Diterbitkan: Isnin, 6 Februari 2017 6:33 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kerja-kerja menaik taraf Kompleks Sukan Negara di Bukit Jalil di sini giat dijalankan selama 23 jam sepanjang tujuh hari seminggu untuk persiapan Sukan SEA 2017 yang dijadualkan dari 19 hingga 31 Ogos ini.

Walaupun kerja-kerja itu diharap dapat diselesaikan lebih awal bagi membolehkan para atlet negara mempunyai masa latihan yang secukupnya di venue-venue itu sesuai dengan kelebihan Malaysia sebagai pasukan tuan rumah, namun pihak pihak Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) tidak akan menggadaikan keselamatan mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif PSM, Azman Fahmi Osman berkata para atlet negara akan hanya dibenarkan berlatih di venue-venue berkenaan setelah mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa.

Katanya mengikut perjanjian dengan pihak pemaju, Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB), fasa pertama kerja-kerja menaik taraf di kompleks itu dijangka siap pada Julai ini dan atlet akan mempunyai masa lebih kurang sebulan untuk menjalani latihan.

Temasya Sukan SEA 2017 akan disusuli dengan Sukan Para ASEAN dari 17 hingga 23 September.

"Perkara ini telah dimaklumkan kepada para atlet dan persatuan sukan yang terlibat. Namun, kita sedang melihat opsyen untuk membenarkan mereka berlatih sebelum Julai tanpa membahayakan keselamatan atlet, yang juga boleh memberikan impak buruk kepada penganjuran Sukan SEA.

Terdapat banyak jentera berat di kawasan pembinaan dan orang ramai termasuk atlet tidak boleh memasuki kawasan itu tanpa kelulusan. Kita jangka akan ada venue yang akan siap sebelum Julai, kita akan maklumkan perkara itu kemudian," katanya kepada Bernama.

Fasa pertama projek itu yang dijadual siap pada Julai ini ialah kerja menaik taraf Stadium Nasional, Stadium Putra, Pusat Akuatik Nasional dan Stadium Hoki Nasional, yang menelan berlanja berjumlah RM500 juta.

Stadium Hoki Nasional dijangka menjadi projek pertama yang akan disiapkan, iaitu pada akhir April tahun depan, selepas pemasangan padang rumput tiruan baharu, diikuti venue lain seperti Stadium Tertutup Putra, Pusat Akuatik Nasional dan Stadium Nasional.

Pada Disember lepas, MRCB berkata kerja-kerja pembinaan fasa pertama itu mengikut jadual dan telah siap 60 peratus pada ketika itu, dibantu oleh musim hujan yang bermula agak lewat hujung tahun lalu.

Azman berkata, fasa kedua Bandar Sukan KL bernilai RM1.1 bilion, akan bermula pada awal 2018 selepas Sukan SEA dan Sukan Para Asean, dan dijangka siap pada akhir 2020.

Anak syarikat MRCB, Rukun Juang Sdn Bhd (RJSB) telah dilantik sebagai pemaju induk Bandar Sukan KL pada Oktober 2015.

Fasa kedua akan mewujudkan hab sukan bersepadu yang terdiri daripada infrastruktur bertaraf dunia termasuk kemudahan latihan sukan elit, pusat pemulihan sains sukan, taman belia, kemudahan sukan awam, muzium sukan, hotel belia, pusat konvensyen dan pusat membeli-belah berfokuskan sukan.

"Sebelum ini hanya ada orang datang ke kawasan ini ketika waktu ada acara sahaja, tetapi kita mahu orang ramai datang ke sini pada setiap masa untuk membuat aktiviti-aktiviti rekreasi, bersama keluarga, jogging dan sebagainya.

Ia adalah penting untuk membolehkan kita meraih pendapatan sendiri supaya tidak bergantung kepada bantuan kerajaan untuk kerja-kerja penyelenggaraan stadium," katanya.

Tags / Kata Kunci: Azman Fahmi Osman , PSM , Sukan SEA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan