Doping: Pengambilan 'triamcinolone' atlet judo Perak ikut dos - Sukan Ekstra | mStar

Doping: Pengambilan 'triamcinolone' atlet judo Perak ikut dos

Diterbitkan: Khamis, 25 Oktober 2018 5:51 PM

(Ubah saiz teks)

IPOH: Pengambilan 'triamcinolone' oleh atlet judo Perak yang bertanding pada Sukan Malaysia (Sukma) 2018 baru-baru ini mengikut dos serta kaedah yang dibenarkan.

Exco Pembangunan Belia dan Sukan Howard Lee Chuan How berkata triamcinolone diberikan kepada atlet berumur 21 tahun berkenaan menerusi kaedah suntikan pada kawasan sendi.

Katanya walaupun triamcinolone merupakan bahan larangan kepada atlet yang bertanding, namun menurut Agensi Anti-Doping Dunia (WADA) suntikan pada kawasan sendi (intra-articular) adalah dibenarkan.

"Ia dibenarkan sama ada atlet dalam keadaan dalam pertandingan atau di luar pertandingan," katanya dalam sidang media di sini, Khamis.

Selain itu, Howard berkata laporan oleh pihak Agensi Anti-Do­ping Malaysia (Adamas) menunjukkan sampel yang diambil untuk ujian doping disahkan mengandungi 'Triamcinolone Acetonide Parent' 30ng/ml mengikut dos yang dibenarkan.

Howard menjelaskan atlet berkenaan mengalami kecederaan bahu yang agak serius pada 6 September semasa menjalani latihan sebelum dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini untuk menerima rawatan.

Katanya pegawai perubatan yang bertugas telah melakukan rawatan suntikan intrasendi pada bahagian sendi untuk memulihkan kecederaan serta mengurangkan kesakitan atlet berkenaan.

Beliau turut menyatakan kekesalan kerana walaupun proses pendengaran ujian antidoping itu belum selesai dan dimuktamadkan, namun isu tersebut telah tular sehingga menjejaskan nama atlet berkenaan.

"Walaupun nama atlet tidak dinyatakan, tapi bila ditularkan nama acara, pingat apa dan negeri mana seolah ia (positif doping) telah muktamad.

"Kerajaan negeri ingin menegaskan bahawa tidak ada unsur penyalahgunaan dalam kes tersebut," katanya sambil menambah akan berusaha untuk membersihkan nama atlet berkenaan. - BERNAMA

Tags / Kata Kunci: doping , judo
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan