Selepas '5 tahun bergelut', Pandelela gembira tamat pengajian di UM - Sukan Ekstra | mStar

Selepas '5 tahun bergelut', Pandelela gembira tamat pengajian di UM

Diterbitkan: Jumaat, 19 Oktober 2018 5:59 PM

Pandelela bergambar dengan graduan UM yang lain selepas mengambil jubah konvokesyennya sempena Istiadat Konvokesyen UM yang bermula pada 20 hingga 23 Oktober ini.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Dua atlet negara bakal menggenggam Ijazah Sarjana Muda Sains Pengurusan Sukan dari Universiti Malaya (UM) pada Selasa.

Atlet terjun Pandelela Rinong Anak Pamg, 25, dan atlet hoki Mohammad Fitri Saari, 25, akan menerima ijazah mereka sempena Istiadat Konvokesyen UM kali ke-58 yang bermula pada 20 hingga 24 Oktober ini.

Pandelela berasa gembira dan bersyukur apabila dia akhirnya berjaya menamatkan pengajian selepas lebih lima tahun bergelut di antara bidang akademik dengan sukan.

“Saya amat bersyukur kerana mendapat sokongan yang padu daripada semua pihak khususnya tenaga pengajar (pensyarah dan jurulatih) dan rakan-rakan sekuliah yang banyak membantu saya dalam setiap subjek yang dipelajari.

“Selain bergelut dengan tugasan dan kelas, dalam masa yang sama membuat persiapan bagi menyertai pertandingan terjun di pelbagai peringkat menyebabkan saya perlu bijak membahagikan masa,” ujarnya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan selepas kedua-dua atlet itu mengambil jubah konvokesyen masing-masing, Jumaat.

Pandelela merupakan pemenang pingat perak di Sukan Olimpik 2016, Rio de Jeneiro, Brazil.

Pandelela (kiri) dan Mohammad Fitri (kanan) berjaya menamatkan pengajian di UM selepas lima tahun bergelut dalam bidang sukan dan akademik.

Untuk rekod, Pandelela memulakan pengajian di UM pada September 2012.

Sementara itu, Mohammad Fitri pula berasa terkilan kerana tidak dapat beraksi dalam Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia (ACT) di Oman yang bermula Khamis kerana memilih untuk menghadiri majlis konvokesyennya.

Atlet hoki itu bagaimanapun menyifatkan pilihan itu adalah tepat kerana ia merupakan satu lagi pencapaian dirinya dalam bidang akademik.

"Saya mahu meraikan pengorbanan diri saya, keluarga dan rakan-rakan serta tenaga pengajar (pensyarah dan jurulatih) yang banyak berkorban untuk saya mengenggam segulung ijazah," katanya.

Buat masa ini, Mohammad Fitri mahu memberi tumpuan kepada perlawanan hoki untuk melayakkan pasukan Malaysia ke Sukan Olimpik di Tokyo 2020.

Mengulas tentang perancangannya selepas menamatkan pengajian, beliau bercadang untuk memohon pekerjaan di Majlis Sukan Negara (MSN) atau Institut Sukan Negara (ISN).

Selain Pandelela dan Mohammad Fitri, dua lagi atlet yang bakal menerima ijazah masing-masing ialah Ryan Chong Wy Lunn (taekwondo) dan Nurul Atiqah Zaifulizan (futsal).

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan