Emas kedua Malaysia dari skuad hoki 5 sebelah - Sukan Ekstra | mStar

Emas kedua Malaysia dari skuad hoki 5 sebelah

Diterbitkan: Isnin, 15 Oktober 2018 8:37 AM

Foto: AP

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Skuad hoki lima sebelah remaja negara menyumbang pingat emas kedua kepada kontinjen Malaysia di temasya Sukan Olimpik Remaja di Beunos Aires, Argentina.

Pingat emas pertama Malaysia dimenangi Goh Jin Wei dalam acara badminton perseorangan wanita.Skuad remaja Bawah-18 tahun negara di bawah bimbingan Walace Tan itu mengalahkan India 4-2 pada perlawanan akhir yang berlangsung di Argentina Olympic Park pada Ahad.

Menurut Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) melalui akaun twitter mereka, @hockeymalaysia , menyaksikan skuad negara dikejutkan dengan jaringan pembukaan India seawal minit kedua apabila kapten India, Vivek Sagar Prasad menjaringkan gol pembukaan.

Namun tiga minit berselang, skuad muda negara menyamakan kedudukan melalui gol padang Firdaus Rosdi.

Bagaimanapun beberapa saat selepas Malaysia menjaringkan gol penyamaan (pada minit kelima), Vivek sekali lagi meletakkan India di hadapan dan kedudukan 1-2 kekal sehingga rehat.

Empat minit selepas perlawanan bersambung, Akhimullah Anuar berjaya menyamakan kedudukan 2-2 dan pada minit ke-17, Amirul Hamizan Azahar berjaya meletakkan Malaysia di hadapan.

Seminit selepas itu, Akhimullah sekali lagi berjaya menjaringkan gol untuk memberikan kemenangan kepada Malaysia.Pingat gangsa acara hoki lima sebelah itu menjadi milik pasukan tuan rumah, Argentina yang menewaskan Zambia 4-0.- Bernama

Tags / Kata Kunci: Hoki 5 sebelah , Sukan Olimpik Remaja
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan