Sokongan ibu bapa pendorong 'Dik Wan' lakar kejayaan luar biasa - Sukan Ekstra | mStar

Sokongan ibu bapa pendorong 'Dik Wan' lakar kejayaan luar biasa

Diterbitkan: Isnin, 15 Oktober 2018 8:17 AM

Dik Wan bersama ibu dan bapanya.

(Ubah saiz teks)

SEPANG: Doa dan sokongan padu ibu bapa serta ahli keluarga menjadi azimat terbaik untuk Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi  mencipta kejayaan luar biasa dengan membolot tiga pingat emas pada Sukan Para Asia 2018 yang melabuhkan tirainya di Jakarta pada Ahad.

Atlet paralimpik negara itu yang lebih mesra dengan panggilan ‘Dik Wan' dalam kalangan rakan sepelatihnya, mengakui, ibu bapanya iaitu Mohamad Puzi, 58, dan Lailah Salleh, 50 menjadi antara individu penting yang mendorongnya untuk terus mengharumkan nama negara di pentas sukan antarabangsa.

“Dik Wan nak ucapkan berbanyak terima kasih kepada ibu bapa, ahli keluarga dan rakan sepasukan di atas kejayaan cemerlang ini.

“Tidak dilupakan staf Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) yang banyak membantu Dik Wan sepanjang berada di Jakarta,” katanya ketika ditemui pemberita setibanya dari Jakarta di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bersama kumpulan terakhir atlet paralimpik negara Ahad malam.

Ketibaan mereka disambut Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Anggota Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar, barisan pegawai dan staf MSN dan ISN serta ahli keluarga atlet paralimpik masing-masing.

Dalam pada itu, Mohamad Puzi berbangga dengan pencapaian cemerlang yang diraih anaknya pada temasya sukan berkenaan.

“Pakcik rasa amat bersyukur kepada Allah S.W.T di atas kejayaan cemerlang anak saya pada Sukan Para Asia dan kami sekeluarga berharap dia dapat kekalkan kecemerlangannya pada mana-mana kejohanan selepas ini,” jelas Mohamad Puzi yang tiba di KLIA selepas selesai mengerjakan umrah bersama isterinya di Mekah.

Mohamad Ridzuan mempamerkan aksi luar biasa setelah meraih tiga emas pada Sukan Para Asia 2018 selain turut mencipta satu rekod dunia.

Dia memenangi emas pertama dalam acara 100m T36 lelaki (cerebral palsy) dengan catatan masa 11.87 saat, sekali gus memadam rekod terdahulu 11.90 saat yang dicipta atlet Rusia, Evgenii Shvetcov pada Kejohanan Paralimpik Dunia IPC di Lyon, Perancis pada 2013.

Ridzuan meraih emas kedua dalam acara 400m lelaki T36 dengan catatan masa 59.36 saat.Anak jati Perlis itu meneruskan aksi cemerlangnya setelah memenangi emas ketiga dalam acara lompat jauh T36, dengan catatan rekod baharu temasya iaitu 5.49m.

Ridzuan sebelum ini mencipta fenomena baharu sejarah sukan negara apabila muncul sebagai atlet negara pertama yang berjaya meraih pingat emas di temasya Sukan Paralimpik Rio 2016. -Bernama

Tags / Kata Kunci: Ridzuan Mohamad Puzi , para asian
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan