HSN 2018: KBS sasar penyertaan sejuta peserta - Sukan Ekstra | mStar

HSN 2018: KBS sasar penyertaan sejuta peserta

Diterbitkan: Sabtu, 13 Oktober 2018 4:30 PM

Antara peserta yang mengambil bahagian dalam program HSN 2018 di Bukit Jalil pada Sabtu.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyasarkan penyertaan seramai satu juta untuk pelbagai aktiviti sukan yang diadakan sempena Hari Sukan Negara (HSN) yang disambut serentak di seluruh negara pada Sabtu.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yakin sasaran berkenaan mampu dicapai menerusi pelbagai aktiviti sukan menarik yang telah diatur oleh pelbagai agensi kerajaan di peringkat negeri dan daerah, selain pengenalan sukan elektronik (E-Sport) yang diperkenalkan buat julung kalinya pada tahun ini.

“Kerajaan negeri pun saya dah panggil sebanyak dua kali dan mereka semua sudah sediakan aktiviti masing-masing, malahan semua menteri (Kabinet) selain yang menggerakkan aktiviti sukan di kawasan masing-masing.

“Saya sangat gembira dan usaha ini akan diteruskan dalam mentransformasikan Malaysia sebagai Negara Bersukan,” kata Syed Saddiq pada sidang media selepas menghadiri sambutan Hari Sukan Negara peringkat kebangsaan di Bandar Sukan Kuala Lumpur, Sabtu.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad merasmikan majlis berkenaan yang turut dihadiri isteri beliau, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

Menyentuh mengenai acara hari ini, Syed Saddiq memaklumkan seramai 20,000 pengunjung hadir menyertai pelbagai acara termasuk ‘fun ride', ‘fun walk' selain beberapa aktiviti sampingan lain.

Dalam pada itu, Syed Saddiq berkata KBS bercadang untuk menjadikan Malaysia sebagai satu daripada hab utama untuk sukan elektronik yang semakin mendapat tempat di hati golongan belia di negara ini.


Beliau menambah sukan berkenaan bukan sahaja mampu menjana pendapatan lumayan kepada negara, malahan menyediakan peluang pekerjaan kepada golongan belia terutamanya sebagai pengaturcara komputer dan jurutera perisian.

“Perkembangan sukan elektronik amat unik sekali di negara ini memandangkann sukan ini semakin pesat membangun di Asia Tenggara dan kita ingin meletakkan Malaysia sebagai hab utama sukan elektronik di Asia,” kata Syed Saddiq.

Sambutan Hari Sukan Negara diadakan pada setiap Sabtu minggu kedua bulan Oktober sebagai satu inisiatif ke arah mencapai hasrat menjadikan Malaysia sebagai sebuah ‘Negara Bersukan'.- Bernama

Tags / Kata Kunci: Hari Sukan Negara
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan