‘The Pocket Rocketman' fokus dua kejohanan penting - Sukan Ekstra | mStar

‘The Pocket Rocketman' fokus dua kejohanan penting

Diterbitkan: Rabu, 10 Oktober 2018 9:32 PM

(Ubah saiz teks)

NILAI: Selepas kejayaan memberangsangkan di Sukan Asia 2018 Jakarta-Palembang, tumpuan jaguh berbasikal trek negara Mohd Azizulhasni Awang kini terarah kepada dua kejohanan antarabangsa dalam usaha mencapai prestasi terbaiknya.

Azizulhasni yang merupakan antara atlet berpontensi besar mengharumkan nama Malaysia di Sukan Olimpik Tokyo 2020, menjadikan Kejohanan Asia 2019 Januari depan diikuti Kejohanan Dunia 2019 (Februari) sebagai platform menilai tahap perkembangan prestasi kayuhannya.

Juara dunia keirin 2017 itu turut akan menggadakan usaha kerasnya apabila bakal membawa cabaran dalam beberapa siri Piala Dunia 2018 yang bermula di Perancis bulan depan.

“Matlamat utama saya musim ini adalah Kejohanan Dunia dan Kejohanan Asia. Jadi saya akan gunakan tiga atau empat siri pertama Piala Dunia sebagai platform untuk melihat tahap prestasi selain mengutip seberapa banyak mata untuk layak ke Olimpik.

“Saya jangkakan persaingan di Piala Dunia memang akan menjadi sangat sengit dan rasanya saya turut perlu berkerja keras di sana kerana semua pelumba berlumba-lumba untuk mencari mata,” katanya ketika ditemui pemberita pada Kejohanan GP Trek Asia Tenggara di Velodrom Nasional, Nilai di sini, Rabu.

Pada hari pertama kejohanan itu, Azizulhasni atau ‘The Pocket Rocketman' dengan mudah menewaskan pelumba, Indonesia Admadi Puguh pada aksi final untuk merangkul pingat emas dalam acara pecut.

Menurut beliau yang akan turun beraksi dalam acara keirin esok, kejohanan dua hari tersebut mampu menjadi pentas terbaik untuknya kembali mendapatkan rentak kayuhan dan persiapan terakhir sebelum ke Perancis selepas hanya seminggu mula menjalani latihan.

Dalam acara pecut hari ini, pingat gangsa menjadi milik Yudha Kusuma dari Indonesia selepas menewaskan seorang lagi pelumba negara Muhammad Fadhil Mohd Zonis.

Dalam pada itu, ratu trek negara Fatehah Mustapa terpaksa berpuas hati dengan pingat perak dalam acara pecut dan keirin selepas gagal menyaingi kehebatan pelumba muda Indonesia Dwi Putri Crismonita yang membolot emas dalam kedua-dua acara itu.-Bernama

Tags / Kata Kunci: Azizulhasni Awang
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan