Ras Adiba galas cabaran Malaysia acara menembak - Sukan Ekstra | mStar

Ras Adiba galas cabaran Malaysia acara menembak

Diterbitkan: Jumaat, 5 Oktober 2018 3:43 PM

(Ubah saiz teks)

JAKARTA: Personaliti televisyen, Ras Adiba Radzi yang menggalas cabaran Malaysia pada Sukan Para Asia 2018 bagi acara menembak, optimis untuk melakukan yang terbaik dalam penyertaan julung kalinya itu.

Ras Adiba, 50, yang menyertai acara rifle 10 meter itu berharap akan dapat menyumbangkan pingat untuk negara, selain mengintai peluang beraksi di Sukan Paralimpik 2020 di Tokyo.

"Banyak jenis sukan saya sertai sebelum ini tapi saya mula fokus latihan sukan menembak sejak dua tahun lepas, di bawah program Majlis Sukan Negara dan berjaya melepasi mata kelayakan minima untuk penyertaan ke Sukan Para Asia," katanya ketika ditemui pada majlis sambutan rasmi kontinjen-kontinjen yang menyertai sukan itu di Perkampungan Sukan di Kemayoran, di sini.

Personaliti popular televisyen itu terbabit kemalangan pada 1996 sehingga terpaksa menjalani pembedahan tulang belakang dan kemudiannya disahkan lumpuh separuh badan pada Julai 2002.

Malaysia menghantar 110 atlet lelaki dan 29 wanita, yang akan menyertai 15 daripada 18 sukan yang dipertandingkan pada temasya itu dengan sasaran 15 pingat emas, menyamai pencapaian pada Sukan Para Asia di Incheon Korea Selatan 2014.

Sukan Para Asia 2018 yang akan berlangsung dari 6 hingga 13 Oktober depan menawarkan 568 pingat emas itu disertai 39 negara.

Sukan Para Asia diadakan selepas Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018, yang berlangsung 18 Ogos sehingga 2 September lepas.-- Bernama

Tags / Kata Kunci: Ras Adiba , Para Asia , menembak
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan