Rafiq cipta sejarah tuai emas Masters - Sukan Ekstra | mStar

Rafiq cipta sejarah tuai emas Masters

Diterbitkan: Isnin, 27 Ogos 2018 8:51 PM

Rafiq (kanan) bersama ketua jurulatih Holloway Cheah.

(Ubah saiz teks)

PALEMBANG: Pemain boling negara, Muhammad Rafiq Ismail mencipta sejarah sebagai pemain lelaki pertama Malaysia untuk meraih pingat dalam acara Masters lelaki Sukan Asia, apabila meraih pingat emas di Pusat Boling Jakabaring di sini, Isnin.

Pemain berusia 21 itu, beraksi dengan sabar dan tenang untuk menewaskan juara bertahan Park Jong-woo daripada Korea Selatan 534-511 pada pusingan final stepladder.Pingat gangsa menjadi milik seorang lagi pemain Korea Selatan, Koo Seonghoi yang tewas 245-254 kepada rakan senegaranya, Park pada aksi separuh akhir stepladder.

Muhammad Rafiq terdahulu mara ke pusingan final stepladder selepas mencatatkan 3,995 jatuhan pin secara keseluruhan untuk 16 frame.Pada blok pertama semalam (Ahad), pemain kidal itu meraih tempat keenam dengan 1,889 jatuhan pin, sebelum beraksi dengan cemerlang pada medium oil hari ini untuk menempah tiket ke final.

Sementara itu, seorang pemain lagi wakil negara di acara itu, Syafiq Ridhwan Abdul Malek, hanya mencatatkan tempat kelapan, selepas menjatuhkan 3,796 pin selepas dua blok.Pada Khamis lalu, Rafiq meraih pingat perak acara trio bersama-sama Ahmad Muaz Fishol dan Timmy Tan Chye Chern.

Tiada pemain boling Malaysia yang pernah memenangi pingat dalam acara Masters lelaki Sukan Asia setakat ini, dengan keputusan terbaik ialah tempat kelima menerusi Alex Liew pada edisi Doha 2006 dan Guangzhou 2010.

Pada acara Masters wanita pagi tadi, Natasha Roslan (3,695) dan Syaidatul Afifah Badrul Hamidi (3,544) gagal mara ke stepladder selepas masing-masing menamatkan saingan di tmpat ke-10 dan ke-14.- Bernama

Tags / Kata Kunci: Rafiq Ismail , emas
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan