Isu sepak takraw dibawa ke Panel Timbang Tara - Sukan Ekstra | mStar

Isu sepak takraw dibawa ke Panel Timbang Tara

Diterbitkan: Jumaat, 10 Ogos 2018 2:43 PM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Kontinjen Malaysia akan mengemukakan rayuan kepada Panel Timbang Tara Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018, jika masalah penyertaan negara dalam acara regu sepak takraw tidak diselesaikan oleh pihak penganjur.

Ketua Kontinjen (CDM) negara, Datuk Seri Abdul Azim Mohamad Zabidi berkata pihaknya akan mengemukakan rayuan tersebut sebaik sahaja panel itu ditubuhkan oleh Majlis Olimpik Asia (OCA) pada Selasa ini.

“Sehingga kini tiada perkembangan mengenai sepak takraw… kita akan masukkan rayuan pada 14 Ogos ini dan keputusan dijangka diterima serta-merta,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada kontinjen negara ke temasya itu di Dataran Perdana, Bangunan Perdana Putra pada Jumaat.

Penyertaan Malaysia dalam acara regu lelaki menjadi tanda tanya selepas Malaysia tidak tersenarai dalam acara yang menjadi sandaran emas itu, malah disenaraikan dalam acara regu berpasukan dan beregu berpasukan.

Abdul Azim berkata skuad negara mungkin akan menarik diri daripada acara sepak takraw jika masalah itu tidak dapat diselesaikan, namun perlu berbincang dengan Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) terlebih dahulu sebelum membuat keputusan berkenaan.

Sukan Asia akan berlangsung bermula 18 Ogos hingga 2 September ini. - Bernama


Tags / Kata Kunci: takraw , Panel Timbang Tara
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan