Perbadanan Stadium Malaysia disaman RM41.6 juta - Sukan Ekstra | mStar

Perbadanan Stadium Malaysia disaman RM41.6 juta

Diterbitkan: Khamis, 5 Julai 2018 3:10 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: KL Karnival Sdn Bhd pada Khamis memfailkan saman terhadap Perbadanan Stadium Malaysia bagi menuntut ganti rugi RM41.6 juta berhubung dakwaan melanggar kontrak sewaan tanah di Taman Sukan Extreme bagi Karnival Stadium Bukit Jalil.

KL Karnival Sdn Bhd selaku plaintif memfailkan saman itu melalui pengarah urusannya, Muhamad Rustam Roshandin dengan dihadiri peguam Adnan Seman di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi di sini, menamakan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) sebagai defendan tunggal.

Di dalam pernyataan tuntutan, KL Karnival mendakwa syarikatnya telah diberi kontrak penyewaan oleh defendan iaitu tanah seluas 123,000 kaki persegi di Taman Sukan Extreme selama tiga tahun, berakhir 31 Dis 2020 bagi karnival berkenaan dan melaksanakan kerja-kerja tanah termasuk menambak tambah yang menelan belanja sebanyak RM3 juta.

Dakwanya, seramai 430 peniaga khemah dan 210 peniaga kontena telah mendaftar dengan syarikat itu dan membuat pembayaran bagi membolehkan plaintif membawa masuk kontena serta mempersiapkan tapak khemah selain plaintif turut melabur dengan jumlah besar untuk mempromosikan tapak karnival dan memperkenalkan jenama "KL Karnival" di surat khabar dan majalah serta media sosial.

Bagaimanapun, dakwa syarikat itu, pada Januari 2017, defendan memaklumkan bahawa sebahagian daripada tanah yang diberikan kepada plaintif akan diambil semula untuk melaksanakan kerja-kerja tempat letak kereta.

Plaintif juga mendakwa pihaknya telah bertemu dengan Menteri Belia Sukan sebelum ini bagi mencari penyelesaian berhubung perkara itu dan ditawarkan tempat letak kereta Stadium Jalan Duta sebagai ganti tetapi plaintif menolak tawaran berkenaan kerana tempat letak kereta tersebut terlalu kecil serta lokasinya yang tidak sesuai.

Plaintif mendakwa telah mengalami kerugian besar berjumlah RM41.6 juta yang merupakan kerugian perbelanjaan untuk kos yang dikeluarkan dan kerugian pendapatan sewaan serta menuntut ganti rugi RM41.6 juta, faedah, kos dan relif lain yang sesuai.

Sementara itu, Muhamad Rustam berkata beliau pernah ditahan oleh polis atas dakwaan menipu selepas pihak polis menerima hampir 120 laporan polis daripada 630 peniaga yang terlibat dalam isu ini selain pernah disaman oleh para peniaga.

"Saya telah dijamin secara jamin mulut dan pihak polis meminta supaya saya berbincang dengan pihak stadium dengan segera bagi menyelesaikan duit para peniaga,” katanya kepada pemberita.


Tags / Kata Kunci: Perbadanan Stadium Malaysia
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan