Ujian doping untuk semua atlet Sukan Asia 2018 - Sukan Ekstra | mStar

Ujian doping untuk semua atlet Sukan Asia 2018

Diterbitkan: Jumaat, 29 Jun 2018 7:47 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kesemua 447 atlet negara ke Sukan Asia 2018 di Jakarta dan Palembang dari 18 Ogos hingga 2 Sepember ini, wajib menjalani ujian doping, kata Ketua Kontinjen negara (CDM) Datuk Seri Abdul Azim Mohamad Zabidi.

Beliau berkata langkah itu bagi memastikan tiada atlet negara yang menyertai Sukan Asia 2018 mengambil  bahan terlarang, sekali gus menjadikan ‘sifar doping' selepas atlet Malaysia didapati positif bahan terlarang pada beberapa temasya sukan utama sebelum ini.

Abdul Azim berkata beliau akan bertemu dengan Pengarah Agensi Anti-Doping Malaysia (Adamas), Datuk Dr Ramlan Abdul Aziz untuk membincangkan tarikh dan cara ujian itu dilakukan, ketika hanya berbaki 50 hari untuk temasya sukan berkenaan bermula.

“Sifar doping itu bukan sesuatu yang mustahil kerana kita pernah lakukan ketika Sukan SEA 2015 di Singapura...harap kita turut berjaya lakukan untuk Sukan Asia 2018.

“Selain itu, atlet juga diwajibkan untuk mendapatkan kelulusan daripada pihak Institut Sukan Negara (ISN) sebelum mengambil apa-apa suplemen atau ubat,” kata Abdul Azim yang juga Pengerusi ISN, selepas mengadakan perjumpaan dengan skuad terjun negara di Pusat Akuatik Nasional di sini, Jumaat.

Pada April lepas, pemenang pingat gangsa Sukan Komanwel Gold Coast bagi acara angkat berat bawah 85kg, Mohamad Fazrul Azrie Mohdad disahkan positif bahan Stanozolol dalam ujian pra-temasya.

Pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, penerjun negara Wendy Ng Yan Yee dilucutkan pingat emas acara 3 meter papan anjal wanita dan 3m papan anjal seirama campuran (bersama Nur Dhabitah Sabri) selepas disahkan positif menggunakan bahan terlarang sibutramine.

Ketika Sukan Asia 2014 di Incheon, Korea Selatan, Majlis Olimpik Asia (OCA) menarik balik pingat emas atlet wushu negara, Tai Cheau Xuen kerana didapati menggunakan dadah perangsang jenis sibutramine.

Sementara itu, Abdul Azim berkata permintaan skuad terjun negara untuk mengikuti latihan di China akan dipertimbangkan kembali, jika Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) memberi jaminan bahawa latihan di negara Tembok Besar itu mampu meningkatkan prestasi atlet negara di Sukan Asia.

“Pasukan terjun menjadi harapan besar untuk menyumbangkan pingat di Sukan Asia. Kita akan melihat di mana wujud jurang prestasi dan keperluan untuk terus membantu mereka. Permintaan ke China akan dipertimbangkan balik, tidak boleh ditolak terus,” katanya.- Bernama

Tags / Kata Kunci: Sukan Asia 2018 , doping
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan