Malaysian Tigress belasah Hong Kong 10-0 - Sukan Ekstra | mStar

Malaysian Tigress belasah Hong Kong 10-0

Diterbitkan: Isnin, 25 Jun 2018 8:17 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Skuad wanita negara meneruskan aksi cemerlang pada kejohanan Hoki Siri Terbuka Wanita 2018 apabila membelasah Hong Kong 10-0 di Stadium Sengkang di Singapura, Ahad.

Pasukan Malaysia membuka tirai jaringan menerusi gol padang Fatin  Shafika Sukri pada minit ketujuh, sebelum Nur Amirah Shakirah Zulkifli meledak gol pada minit ke-17 dan 46, Siti Noor Amarina Ruhani (minit ke-53 dan 57) serta Nuraini Abdul Rashid pada minit ke-19 dan 48.

Fazilla Sylvester Silin turut menyumbangkan gol pada minit ke-22, Hanis Nadiah Onn (minit ke-32) dan Nuraslinda Said (minit ke-42) pada aksi tersebut, selepas menewaskan lawan yang sama 9-0 pada Pusingan Kedua Liga Hoki Wanita Dunia, awal tahun lepas.

Skuad Malaysian Tigress memulakan kempen pada kejohanan berkenaan dengan membenam Indonesia 18-0 di venue yang sama, pada Sabtu.

Selepas berehat Isnin, skuad bimbingan Muhammad Dharma Raj Abdullah akan meneruskan saingan bertemu Kazakhstan pada Selasa, diikuti Thailand sehari kemudian, sebelum melengkapkan aksi round robin itu berdepan tuan rumah Singapura pada Jumaat.

Pasukan wanita negara perlu menamatkan saingan dalam kelompok dua teratas pada kejohanan berkenaan, yang merupakan aksi kelayakan ke Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, bagi membolehkan mereka menempah tempat ke pusingan seterusnya, iaitu kejohanan Hoki Siri Final.

“Kita masih meneruskan saingan sehingga kita mencapai sasaran, adalah bagus jika dapat kekalkan fokus. Kita tidak tahu bila kita akan ketandusan untuk menjaringkan gol. Jadi, saya sentiasa bimbang jika kita melepaskan peluang kerana kita hanya menjaringkan 10 gol (enam melalui pukulan sudut penalti) walaupun memperoleh 39 pukulan sudut penalti pada Ahad.

"Bagus kerana kita mencatat kemenangan, namun adalah lebih bagus untuk kita terus berusaha menjadi lebih baik. Kita perlu lebih tajam pada perlawanan penting menentang Kazakhstan dan Thailand. Pertahanan Kazakhstan bermain baik dan bergantung kepada serangan balas. Mereka memiliki barisan penyerang yang lincah dan ia mungkin memberi masalah kepada kita.

“Penting kita menyempurnakan peluang yang ada untuk menjaringkan gol. Pada pertemuan terakhir menentang Kazakhstan, kita hanya menewaskan mereka 2-1 selepas melepaskan banyak peluang. Diharapkan barisan hadapan kita lebih tajam pada kali ini,” kata Muhammad Dharma. - Bernama

Tags / Kata Kunci: Malaysian Tigress
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan