Video kontroversi: Pandelela, Dhabitah antara 7 penerjun berdepan tindakan - Sukan Ekstra | mStar

Video kontroversi: Pandelela, Dhabitah antara 7 penerjun berdepan tindakan

Diterbitkan: Rabu, 20 Jun 2018 9:18 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kesatuan Renang Amatur Malaysia (Asum) bertindak pantas dengan menggantungkan elaun tujuh penerjun negara berkuat kuasa serta-merta kerana mengambil minuman keras, dan mereka bakal berdepan dengan tindakan lanjut.

Tindakan itu mungkin ringan seperti potongan separuh elaun bulanan mereka selama dua bulan, atau ia boleh menjadi drastik seperti digugurkan dari Sukan Asia di Jakarta pada Ogos.

Pada Selasa, Asum mengesahkan tiga daripada mereka merupakan penerjun program podium, Pandelela Rinong, Nur Dhabitah Sabri dan Chew Yiwei serta empat penerjun junior di bawah program Majlis Sukan Negara (MSN) iaitu Hanis Nazirul Jaya Surya, Jellson Jabillin, Gabriel Gilbert Daim dan Kimberly Bong.

Mereka dilihat dalam klip video yang tular di media sosial.

Video tersebut menunjukkan gelagat beberapa penerjun senior dalam program podium dan juga junior di kem latihan pusat di China, Februari lalu.

Setiausaha Kehormat Asum, Mae Chan yang kemudian mengeluarkan kenyataan bersama MSN dan Institut Sukan Negara (ISN) berkata, satu jawatankuasa siasatan akan menentukan tindakan lanjut.

"Mereka akan mengemukakan cadangan kepada jawatankuasa disiplin Asum.

"Asum, ISN dan MSN bertemu dengan tujuh penerjun dan menjelaskan bahawa standard yang tinggi diharapkan daripada mereka.

"Atlet-atlet berkenaan gagal dalam kes ini," kata Mae, sambil menambah bahawa mereka kesal dengan tindakan para penerjun terbabit.

"Sebagai atlet negara, mereka harus tahu bahawa mereka membawa imej negara. 

"Atlet-atlet telah mengakui kesalahan mereka dan berjanji tidak akan melakukannya lagi," katanya.

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan