Rugi kalau Filipina tak senaraikan acara boling padang - Sukan Ekstra | mStar

Rugi kalau Filipina tak senaraikan acara boling padang

Diterbitkan: Isnin, 11 Jun 2018 11:09 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Adalah menjadi satu kerugian buat tuan rumah Sukan SEA 2019, Filipina jika tidak menyenaraikan acara boling padang di temasya berkenaan, kata pemain boling padang negara Siti Zalina Ahmad.

Beliau berkata  Filipina adalah antara  negara yang mempunyai barisan atlet terbaik dalam sukan itu, selain kemudahan gelanggang pertandingan dan kelebihan dari segi sokongan moral daripada penonton tempatan.

“Sudah semestinya atlet acara ini mahu ia disenaraikan pada Sukan SEA akan datang. Kalau  diikutkan, tuan rumah mempunyai ramai pemain yang bagus. Pada saya, ia menjadi satu kerugian untuk kontinjen negara mereka sendiri jika boling padang tidak disenaraikan,“ katanya.

Siti Zalina turut mengakui acara boling padang jarang sekali dipertandingkan dalam temasya sukan besar dan hanya terhad di Sukan SEA dan Sukan Komanwel bergantung kepada kemudahan gelanggang di negara penganjur.

“Lagipun untuk acara boling padang ini, kalau di Sukan SEA, kita hanya berpeluang jika tuan rumah adalah Brunei, Thailand, Malaysia dan Filipina,” katanya kepada Bernama.

Dengan ketiadaan acara boling padang, secara tidak langsung, ia menjejaskan kutipan pingat emas kontinjen negara di temasya dwi tahunan itu.

“Saya dengar beberapa negara akan mengemukakan rayuan dan tidak pasti apa keputusannya nanti. Harapan agar ada kata sepakat yang positif,” kata atlet berusia 39 tahun itu.

Pada edisi 2017 di Kuala Lumpur, skuad boling padang negara Malaysia meraih tujuh pingat emas.Pada mesyuarat Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) sebelum ini, Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Filipina (PHISGOC) mengeluarkan senarai awal 30 sukan untuk Sukan SEA ke-30 yang dijadual berlangsung  mulai 30 November hingga 10 Disember, 2019 di tiga bandar kluster -- Clark, Subic dan Metro Manila.

Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan (NOC) diberikan masa sehingga 13 Jun ini untuk menghantar rayuan dan cadangan sukan tambahan bagi dimasukkan dalam Sukan SEA 2019. -Bernama

Tags / Kata Kunci: Boling padang , Siti Zalina Ahmad
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan